'Tanpa peminat, kita bukan siapa-siapa' – Allan Anderson

'Tanpa peminat, kita bukan siapa-siapa' – Allan Anderson

'Tanpa peminat, kita bukan siapa-siapa' – Allan Anderson


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dari Indonesia, Allan Anderson, 35, berasa kesal melihat sikap segelintir bakat baharu dalam bidang muzik apabila tidak menghargai sokongan peminat.

Menurut Allan, dia pernah melalui kenangan pahit kehidupan sebelum kini semakin mencipta nama hasil sokongan peminat yang sanggup ‘streaming’ lagu-lagunya di platform digital.

Katanya, dia memang kecewa dengan sikap segelintir penyanyi baharu yang tidak menghargai peminat, namun perasaan itu disimpan dalam hati.

“Bayangkan kamu keluar lagu, namun tidak ada siapa pun yang dengar. Sebab itu saya sangat bersyukur dengan peminat yang saya ada walaupun tidak ramai kerana mereka cukup kuat memberi sokongan.

“Apatah lagi, saya pernah hidup susah sebelum karier nyanyian stabil seperti sekarang. Masih ingat lagi sewaktu hasilkan lagu Rindu, saya guna semua wang saya untuk membayar kos produksi, buat muzik video dan lain-lain.

“Tak sangka baki wang saya dalam akaun bank ketika itu tinggal Rupiah 1,600 iaitu kalau ditukar dalam Ringgit Malaysia ketika ini, nilainya kurang lebih 40 sen,” katanya.

Menurutnya, pengalaman peribadi hidup susah itu banyak mengajarnya erti kehidupan untuk lebih cekal, sabar, terus berusaha dan menghargai orang lain seperti peminat yang memberikan sokongan.

“Bagaimanapun, saya tidak gemar menunjukkan kesusahan diri di media sosial untuk meraih simpati orang kerana tidak perlu dan biar keperitan dialami itu disimpan sendiri,” katanya.

Baru-baru ini, Allan yang hadir pada sidang media drama Setiaku Berdiri arahan Rashid Sibir turut memaklumkan dia rasa bertuah apabila lagunya Senafas dipilih menjadi runut bunyi (OST) drama itu walaupun baru dilancarkan pada 5 Disember lalu.

Lagu Senafas juga adalah hasil ciptaan komposer tempatan iaitu Farouk Roman dan lirik ditulis oleh Senna itu menjadi percubaan pertama kali Allan menjalin kerjasama dengan penggiat seni di Malaysia.

Pada April lalu, Allan atau nama sebenarnya Joan Allan Anderson Sinapati yang berasal dari Sulawesi Utara, Indonesia pernah menyertai program realiti TV, Big Stage Alpha terbitan Astro.

Allan yang sudah lama bergelar penyanyi di negaranya sebelum itu menyertai program The Voice Indonesia pada 2016 dan mengaku sehingga kini tidak lupa persembahannya mendapat pujian daripada penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Noor.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top