Skuasy Kedah fokus sekolah luar bandar

Skuasy Kedah fokus sekolah luar bandar


sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Persatuan Skuasy Negeri Kedah merancang memperluaskan lagi langkah pengenalan sukan berkenaan di peringkat sekolah di kawasan luar bandar, dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam pembangunan sukan berkenaan di negeri ini.

Presiden baharu bagi sesi 2025/2027, Zainol Abidin Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Non’ berkata, pihak persatuan kini fokus meletakkan sasaran berkenaan sebagai agenda utama bagi memperkukuhkan usaha berkenaan sebaik beliau dipilih sebulat suara pada Mesyuarat Agung Persatuan Skuasy Negeri Kedah yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Menurut Zainol Abidin, pendedahan awal sukan skuasy dikalangan pelajar ini dilihat penting bagi memastikan mereka lebih mengenali dan berminat untuk menceburi sukan berkenaan, sekali gus dapat membentuk pembangunan bermula dari peringkat akar umbi.

“Kita mahu bawa sukan skuasy ini masuk ke sekolah-sekolah, terutama di kawasan luar bandar yang masih kurang pendedahan dan sokongan terhadap sukan ini.

“Setakat ini, belum ada pertandingan skuasy secara rasmi di peringkat daerah atau negeri membabitkan pelajar, jadi ini antara perkara yang akan kita tekankan,” katanya.

Zainol Abidin berkata, Kedah sebenarnya mempunyai potensi besar dalam sukan skuasy, termasuk melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, seperti kejayaan pemain negara, S Sivasangari yang juga pemain yang berasal dari Kedah.

“Kita pernah ada ikon skuasy dunia, Datuk Nicol David, dan Kedah juga pernah melahirkan atlet yang meraih pingat di Sukan Sea. Ini membuktikan skuasy mampu berkembang jika dibangunkan dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, persatuan bakal melalui proses penstrukturan semula dengan penubuhan beberapa biro, antaranya Biro Kejurulatihan, Biro Kebajikan Atlet dan Biro Penjanaan Dana bagi memastikan pengurusan dan pembangunan sukan skuasy negeri ini lebih tersusun.

Zainol Abidin yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah (PIBKS) Kedah berkata, pihaknya akan memanfaatkan hubungan baik dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan setiap perancangan persatuan dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Dengan sokongan JPN dan PPD, kita akan bentangkan hala tuju skuasy negeri Kedah supaya sukan ini dapat diterima dan diserap di peringkat sekolah,” katanya.

Dalam perkembangan skuasy di Kedah baru-baru ini, pasukan remaja Kedah meraih kecemerlangan dalam pentas CIMB Grand Final 2025 yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan pada 19 hingga 23 November lalu.

Pasukan Remaja Kedah yang diwakili Mohammad Haiqal Hazim dari Kolej Sultan Abdul Hamid menjuarai kategori Bawah 19 tahun dan Sim Yeak Wee dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa pula menjuarai kategori bawah 17 tahun.

Manakala Nurul Nisa Najihah Nazir dari Sekolah Kebangsaan Taman Rakyat Alor Setar juga turut unggul dalam kategori bawah 13 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top