am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat dengan 411 orang daripada 125 keluarga dipindahkan setakat 10 malam Isnin, berbanding 326 orang pada petangnya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan Kemaman dan Hulu Terengganu masih kekal dua daerah yang terjejas dengan keseluruhan sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan.
Tiga PPS baharu dibuka di Kemaman Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu menempatkan 10 mangsa (4 keluarga); Dewan Ketengah Dandong (tiga mangsa sekeluarga) dan Dewan Orang Ramai Batu 14 (28 mangsa, 8 keluarga).
Dua PPS diaktifkan sebelum ini, Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih mempunyai 91 mangsa (22 keluarga) dan Dewan Sivik Air Putih (13 mangsa, 4 keluarga).
Sementara di Hulu Terengganu, jumlah mangsa banjir tidak berubah dengan empat PPS masih aktif.
PPS Kampung Lubuk Periuk menempatkan 161 mangsa daripada 53 keluarga, Masjid Kampung Peneh (76 orang mangsa, 25 keluarga), Balairaya Kampung Kemat (16 mangsa, lima keluarga) dan Balairaya Kampung Pelandan (13 mangsa, tiga keluarga).
© New Straits Times Press (M) Bhd






