am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: “Kelipan cahaya lampu suluh dari puncak bukit runtuhan bawa kepada penemuan mangsa terperangkap di dalam kereta ditimbus tanah runtuh.
Itu antara pengalaman sukar dilupakan Staf Kanan (PA) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mohd Firdaus Abd Samad ketika misi menyelamat mangsa tanah runtuh di Batang Kali di sini, pada 16 Disember 2022.
Beliau serta lapan anggota lain termasuk Kapten Hilmi Husman dikerah ke lokasi dengan membawa tali, mesin pemotong kayu, pengusung, peralatan medik serta radio komunikasi.
Firdaus berkata, pada mulanya dia menyangka cahaya lampu suluh itu milik anggota penyelamat lain.
“Namun tiada sesiapa dari pasukan lain berada di atas. Kami yakin itu mangsa yang masih hidup,” katanya.
Firdaus bersama anggota APM, bomba dan Fire Rescue Genting membentuk satu pasukan sebelum mendaki ke arah isyarat lampu suluh itu.
Semasa pendakian, mereka menemui beberapa mangsa tertimbus di lereng bukit.
“Sebahagiannya terbaring manakala ada antaranya tidak dapat diselamatkan akibat risiko runtuhan susulan.
“Sebaik tiba berhampiran puncak runtuh, kami menemui seorang mangsa lelaki yang menghantar isyarat lampu tadi. Mangsa memaklumkan isteri dan anaknya berada di dalam kereta di tepi cerun yang runtuh.
“Pada masa sama wanita terbabit membunyikan hon kereta untuk menarik perhatian kami. Pasukan penyelamat akhirnya menemui kereta itu tertimbus dan bertindih dengan beberapa kenderaan lain,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, ketika mengeluarkan wanita itu, dia meminta kami mencari anaknya terlebih dahulu.
“Kami kemudian jumpa anak kecil sudah tidak sedarkan diri.
“Dengan penuh hati-hati, saya mendukung kanak-kanak itu keluar dari kenderaan. Naluri saya sebagai seorang bapa merasakan kanak-kanak itu sudah tiada.
“Saya periksa nadinya, tiada tanda nyawa. Saya tak sanggup beritahu ibunya. Kami hanya katakan anaknya sudah dibawa keluar dari lokasi itu,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit cedera di muka dan beberapa bahagian badan.
“Saya kemudian membawa ibu dan jasad anak itu ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan menyerahkannya kepada pasukan perubatan,” katanya.
Selepas hantar mangsa, Firdaus kembali ke kawasan runtuhan untuk meneruskan pencarian.
“Ada bayi, ada kanak-kanak, ada yang dewasa. Bila saya dukung bayi atau kanak-kanak yang sudah tidak bernafas…teringat anak saya sendiri di rumah. Rasa sayu itu tidak boleh saya lupakan.
“Saya berada di lokasi kejadian selama lima hari iaitu dari hari pertama hingga mangsa terakhir ditemui,” katanya.
Menurut Firdaus, cabaran paling sukar mengesan mangsa di kawasan runtuhan yang luas dan keadaan tanah tidak stabil.
“Ada mangsa tertimbus separuh badan, ada yang menangis meminta tolong, ada yang cedera parah,” katanya.
“Walaupun penat dan berisiko tinggi, semangat semua pasukan penyelamat tidak pernah goyah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






