Wushu hanya ada seorang jurulatih, perlu tambah lagi – Kim Fatt

Wushu hanya ada seorang jurulatih, perlu tambah lagi – Kim Fatt

Wushu hanya ada seorang jurulatih, perlu tambah lagi – Kim Fatt


saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt berharap kem wushu negara mendapat tambahan jurulatih bagi memperkukuhkan pembangunan atlet pelapis terutama menjelang kejohanan besar seperti Sukan Asia 2026.

Ketika ini, Kim Fatt mendedahkan skuad wushu negara hanya mempunyai seorang jurulatih, situasi yang disifatkannya sebagai tidak seimbang jika dibandingkan dengan negara pesaing utama di rantau ini.

Menurutnya, Malaysia seharusnya mencontohi Indonesia yang jelas menunjukkan peningkatan ketara selepas melantik sehingga empat jurulatih dari China, sekali gus muncul juara keseluruhan wushu di Sukan SEA 2025 dengan meraih lima pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

“Indonesia memang nampak sedang meningkat. Mereka mendapat sokongan padu sehingga mempunyai empat jurulatih, tapi kita satu jurulatih sahaja.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan tambahan jurulatih kerana tahun depan ada Sukan Asia, temasya sukan yang sangat penting untuk wushu,” katanya.

Kim Fatt menegaskan, penambahan jurulatih khusus untuk atlet pelapis amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan prestasi skuad negara pada masa depan.

“Kami perlukan tambahan satu lagi jurulatih pelapis. Kalau dulu semasa kita memenangi emas di Sukan Asia menerusi Chai Fong Ying, kita ada beberapa jurulatih yang bagus.

“Selepas itu, kita agak lemah kerana tidak mempunyai jurulatih yang cukup,” katanya.

Sementara itu, mengulas prestasi skuad negara di Sukan SEA 2025, Kim Fatt mengakui terkejut dengan pencapaian atlet wushu negara yang berjaya melepasi sasaran awal.

“Sebenarnya sasaran kami satu (emas) sahaja kerana negara lain seperti Indonesia sangat kuat. Kami cuma lakukan yang terbaik.

“Lepas menang emas pertama, kami jadi lebih bersemangat untuk raih emas seterusnya,” katanya.

Kem wushu negara menamatkan kempen di Sukan SEA kali ini dengan pungutan keseluruhan tiga pingat emas, satu perak dan empat gangsa.

Emas negara disumbangkan trio Mandy Cebelle Chen, Sydney Sy Xuan Chin dan Loh Ying Ting dalam acara duilian wanita tanpa senjata.

Semalam pula, ratu wushu negara, Tan Cheong Min menyumbang emas dalam acara individu (nanquan, nangun dan nandao), manakala gandingan Cheong Min, Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee meraih emas menerusi acara berpasukan duilian bersenjata wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top