Kuala Lumpur: Marine & General Berhad (M&G) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM15.4 juta bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2025, meskipun berdepan peningkatan kos operasi, khususnya dalam segmen huluan.
M&G menerusi kenyataan berkata, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM98.3 juta, meningkat 5.7 peratus berbanding RM93.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh penggunaan armada yang lebih baik bagi kedua-dua divisyen huluan dan hiliran.
Bagaimanapun, PBT suku tahunan itu susut 16 peratus berbanding RM18.3 juta pada tempoh sama tahun lalu, berikutan kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih tinggi dalam Divisyen Upstream.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan, M&G mencatatkan hasil RM197.8 juta, meningkat 7.3 peratus berbanding RM184.3 juta sebelum ini, disokong penggunaan kapal yang lebih kukuh serta kadar sewaan yang lebih tinggi dalam segmen huluan.
Secara kumulatif, keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM38.7 juta, naik 8.1 peratus daripada RM35.8 juta pada tempoh sama tahun lalu, hasil prestasi penggunaan kapal yang lebih baik dan kadar sewaan lebih tinggi, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh kos pembaikan kapal dan sewaan kapal pihak ketiga.
Selain itu, bagi suku kedua, Divisyen Logistik Marin Huluan merekodkan hasil RM84.9 juta, meningkat 8.8 peratus berbanding RM78 juta sebelumnya, dipacu kadar penggunaan kapal mencecah 79 peratus, disokong kontrak pelbagai tahun AHTS 60M di bawah PETRONAS.
Keuntungan sebelum cukai bagi divisyen itu bagaimanapun menurun kepada RM17.2 juta berbanding RM20.2 juta sebelum ini, berikutan peningkatan kos pembaikan dan penyelenggaraan kapal.
Bagi tempoh enam bulan, hasil huluan meningkat kepada RM170.4 juta daripada RM148.8 juta, dengan PBT naik kepada RM39.2 juta berbanding RM36.1 juta sebelumnya, disokong aktiviti sewaan yang lebih kukuh serta pendapatan tambahan daripada yuran pengurusan kapal pihak ketiga.
Menurut M&G, asas ekonomi Malaysia kekal stabil disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, pembaharuan struktur dan pelaburan berterusan, namun risiko luaran seperti ketegangan geopolitik dan potensi kelembapan ekonomi global masih menjadi cabaran.
Secara keseluruhan, M&G mengekalkan unjuran neutral bagi tahun kewangan semasa, selaras dengan perkembangan pasaran dan keadaan ekonomi global.
© New Straits Times Press (M) Bhd






