MotoGP pertahan format perlumbaan pecut

MotoGP pertahan format perlumbaan pecut


Madrid: Format perlumbaan pecut MotoGP kini bukan lagi sekadar eksperimen, namun Ketua Pegawai Sukan Kejohanan itu, Carlos Ezpeleta mengakui ia masih menjadi antara topik paling hangat diperdebatkan, walaupun angka tontonan televisyen melonjak ketara musim ini hasil pengenalan format perlumbaan lebih singkat itu.

Diperkenalkan pada musim 2023, perlumbaan separuh jarak itu melonjakkan tontonan televisyen sebanyak 26 peratus pada hari Sabtu, manakala jumlah keseluruhan penonton televisyen meningkat sembilan peratus, menurut data yang dikeluarkan MotoGP.

Selain itu, musim 22 pusingan menyaksikan kehadiran 3.6 juta peminat ke litar, sekali gus memecahkan sembilan rekod kehadiran ketika MotoGP menikmati antara musim paling diingati, terutama selepas Ducati menyaksikan Marc Marquez kembali ke puncak dengan gelaran dunia ketujuhnya.

Dari sudut luar, ia kelihatan situasi menang-menang: lebih banyak perlumbaan, lebih ramai penonton dan lebih banyak hasil.

Namun bagi pelumba, 22 perlumbaan Grand Prix dan 22 perlumbaan pecut bermakna beban tugas jauh lebih berat.

Berbeza dengan Formula Satu yang hanya menganjurkan perlumbaan pecut di beberapa litar terpilih dan tidak lebih enam kali semusim, Ezpeleta memberi bayangan jelas mengenai hala tuju MotoGP ketika kejuaraan itu cuba mengimbangi tradisi sukan dan keperluan menarik peminat baharu.

“Kami percaya mempunyai format yang sama setiap hujung minggu sangat penting untuk sukan ini, terutama ketika kami begitu fokus untuk menarik peminat baharu,” kata Ezpeleta kepada Reuters.

“Mempunyai sukan yang mudah difahami, format yang sama setiap minggu… mata yang sama dipertaruhkan setiap hujung minggu. Ia memberi konsistensi sebagai satu kejuaraan dunia dan kami rasa itu sangat penting.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top