Lelaki cuba beli emas dengan 'selonggok' wang palsu

Lelaki cuba beli emas dengan 'selonggok' wang palsu


am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tular di media sosial apabila seorang lelaki didapati ‘kantoi’ menggunakan ‘selonggok’ wang kertas palsu untuk membeli barang kemas di sebuah kedai emas di Jalan Chabang Tiga, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan dibuat seorang jurujual lelaki berusia 36 tahun di Balai Polis Kuala Terengganu pada 6.31 petang.

Menurutnya, pada 3.10 petang, jurujual lelaki itu di kaunter jualan di sebuah kedai emas di Chabang Tiga, di sini, sebelum didatangi oleh seorang lelaki berusia awal 30-an.

Katanya, suspek datang bersendirian dengan memakai kopiah putih, bercermin mata hitam dan menggunakan pelitup muka berwarna merah jambu.

“Difahamkan, suspek menyatakan hasrat ingin membeli barang kemas dengan anggaran nilai RM30,000.

“Seorang lagi rakan sekerja kemudian menunjukkan beberapa gelang emas kepada suspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga mengambil gambar barang kemas kononnya untuk ditunjukkan kepada isterinya dan selepas dua kali keluar masuk premis, dia menyatakan hasrat untuk ingin membeli barang kemas yang dilihatnya.

“Ketika urusan penyediaan resit pembelian, jurujual meminta individu itu menyerahkan wang untuk proses pengiraan.

“Dia melihat suspek itu meletakkan duit yang diikat secara ‘bundle’ di dalam sebuah plastik berwarna kuning, namun pemerhatian awal mendapati wang itu agak pelik kerana bentuk tepi wang itu berwarna putih,” katanya.

Menurutnya, jurujual mengambil wang itu untuk melihat sendiri didalamnya, namun berlaku tarik-menarik antara mereka hingga menyebabkan dia menarik sekali tangan suspek itu.

Katanya, suspek terbabit kemudian bertindak agresif dan terus melarikan diri dengan menggunakan kenderaan yang diletakkan di hadapan kedai berkenaan.

Azli berkata, suspek berkenaan melarikan diri dengan menggunakan Perodua Axia berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran BHA 4371 namun semakan mendapati ia adalah palsu.

“Rakaman lengkap kamera litar tertutup (CCTV ) masih belum diperoleh selain semakan CCTV di kedai berhampiran juga akan dibuat bagi membantu siasatan.

“Tiada kerugian direkodkan dalam kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top