Pusat penempatan anjing terbiar di Sungai Klebang dibina atas tanah rizab, tiada kelulusan

Pusat penempatan anjing terbiar di Sungai Klebang dibina atas tanah rizab, tiada kelulusan

Pusat penempatan anjing terbiar di Sungai Klebang dibina atas tanah rizab, tiada kelulusan


am@hmetro.com.my

Seremban: Cadangan pembinaan pusat perlindungan anjing terbiar di dalam rizab perkampungan Orang Asli Sungai Klebang, Jempol, didakwa dibuat tanpa rundingan telus dan tiada persetujuan komuniti Orang Asli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, berkata pihaknya mendapat dokumen yang mendakwa ia membabitkan perancangan awal serta komunikasi rasmi pihak tertentu.

Beliau mendakwa, pada peringkat awal lagi ia sudah mendapat bantahan penduduk kampung berkenaan dan kawasan sekitar.

“Saya sudah berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol (PDT) dan dimaklumkan ia dibina di tanah rizab kerajaan tanpa mendapat kelulusan.

“Malah, pembinaan pusat perlindungan anjing liar itu tidak pernah mendapat sokongan mana-mana wakil rakyat mahupun kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKT).

“Lokasi terbabit tidak sesuai, banyak lagi kawasan lain boleh dijadikan pusat perlindungan anjing liar dan bukan di kawasan rizab kerajaan yang berdekatan dengan penempatan penduduk.

“Pihak berkenaan sepatutnya memilih tanah persendirian yang lebih sesuai tanpa mengganggu kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan pusat perlindungan anjing liar yang beroperasi sejak pertengahan tahun ini dibina secara haram dan tanpa kebenaran oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pusat itu diwujudkan di lokasi yang agak tersorok dan dipagar dengan kepingan zink menyebabkan ia sukar dikesan pihak berkuasa.

Pengwujudan pusat terbabit mendapat bantahan penduduk susulan kebimbangan mereka berhubung risiko penyakit rabies, pencemaran bau serta pembuangan najis haiwan berkenaan.

Mohd Zaidy menegaskan sebarang cadangan pembangunan atau penempatan fasiliti sensitif di kawasan penempatan Orang Asli perlu melalui proses rundingan menyeluruh serta mendapat persetujuan komuniti setempat, selaras dengan prinsip tadbir urus baik dan penghormatan terhadap hak masyarakat terbabit.

“Isu ini wajar disiasat secara menyeluruh dan semua pihak yang terbabit perlu tampil memberi penjelasan serta bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Rompin, Norizan Othman, ketika dihubungi menegaskan pihaknya membantah pembinaan dan operasi pusat perlindungan anjing liar itu kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang selesa penduduk.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top