harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kehadiran Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst (RMAS), mengimbau kenangan pahit dan manis ketika bergelar beliau pegawai kadet RMAS hampir empat dekad lalu.
Jumaat lalu, Johnny Lim kembali ke RMAS sebagai tetamu kehormat Sovereign’s Parade di Britain.
Ketibaan Lim di Government House disambut Komander RMAS, Brigadier Nick Wight dan diberi penghormatan Quarter Guard of Honour daripada unit Gurkha Company (Sittang).
Turut hadir mewakili institusi Diraja Britain, Puteri Anne iaitu adik kepada Raja Britain Raja Charles III dan Penasihat Pertahanan Malaysia di Britain, Brigadier Jeneral Datuk Shahir Rahman.
Lebih manis, majlis itu berlangsung pada tarikh sama beliau ditauliahkan di RMAS iaitu pada 12 Disember 1986.
Katanya, kehadirannya bukan sekadar mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah ia melambangkan hubungan erat antara Malaysia dan akademi itu yang sudah terjalin lama sejak tahun 1950.
“Saya amat berbesar hati apabila diberikan peluang untuk ATM pada Sovereign’s Parade kali ini.
“Tarikh perarakan ini juga kebetulan sama dengan tarikh semasa saya ditauliahkan dahulu, menjadikan majlis ini lebih manis buat diri saya,” katanya kepada Harian Metro.
Lim berkata, seramai 612 kadet terbabit dalam perbarisan berkenaan yang diketuai oleh Ajutan RMAS Maj BM Kendall (Coldstream Guards) yang mana 184 kadet serta 27 pegawai kadet luar negara ditauliahkan.
Sebelum ini nama Lim menjadi sebutan ramai apabila dia menjadi ‘anak Cina’ pertama yang dinaikkan pangkat Leftenan Jeneral ATM.
Untuk rekod seramai 322 pegawai kadet daripada Malaysia menjalani latihan dan menerima tauliah daripada akademi tentera terkemuka itu sejak tahun 1950 sehingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






