'Tiada halangan letak hiasan perayaan seperti pokok Krismas, Tahun Baru Cina atau Deepavali' – JAKIM

'Tiada halangan letak hiasan perayaan seperti pokok Krismas, Tahun Baru Cina atau Deepavali' – JAKIM

'Tiada halangan letak hiasan perayaan seperti pokok Krismas, Tahun Baru Cina atau Deepavali' – JAKIM


am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengakui terdapat klausa menerusi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang ditetapkan jabatan itu menyebabkan salah faham hingga mencetuskan isu berkaitan penggunaan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, di pihak JAKIM tiada halangan serta bukan menjadi kesalahan bagi premis serta dapur hotel yang memiliki pensijilan halal untuk meletakkan hiasan berkaitan agama selain Islam selagi tidak bercorak penyembahan.

Katanya, ia memandangkan permasalahan berkaitan hiasan yang tidak berbentuk penyembahan agama selain Islam, tidak menjejaskan berkaitan ramuan produk yang mendapat pensijilan halal itu sendiri.

“Sebenarnya bukanlah menjadi kesalahan kepada pemegang sijil halal untuk meletakkan hiasan berkaitan dengan agama-agama lain contohnya dengan meletakkan pokok Krismas, Tahun Baru Cina, dan Deepavali.

“Yang kita maksudkan itu (dilarang) jika keterlaluan sehingga mengaitkan dengan penyembahan yang bercorak keagamaan, kalau setakat hiasan itu sebenarnya tiada masalah.

“Berdasarkan manual prosedur persijilan halal Malaysia memang ada klausa yang menyebabkan salah faham. Hiasan (adalah) untuk menarik perhatian sempena hari-hari istimewa untuk masyarakat yang berada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada program Walkabout Ketua Pengarah JAKIM ke Tapak Projek Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI 2025 JAKIM sekitar Kampung Menora di Sekolah Kebangsaan (SK) Menora, di sini, hari ini.

Sirajuddin berkata, susulan penjelasan itu pihaknya akan mengadakan penyelarasan semula dengan pihak yang melaksanakan pensijilan halal khususnya jabatan agama di peringkat negeri melalui Jawatankuasa Pelaksana Pensijilan Halal Malaysia sedia ada.

“Adakan penjelasan semula kepada pihak-pihak yang melaksanakan persijilan halal di peringkat negeri. Sebelum ini kita sudah buat sekali dan mungkin ada lagi pihak yang belum jelas mengenai klausa di dalam manual prosedur persijilan halal itu.

“Kisah sebenar klausa itu (adalah) jika ada unsur-unsur penyembahan atau yang berkaitan keagamaan. Kalau setakat gambar pokok Krismas, gambar rusa terbang, Santa Claus (maka) itu tidak menjejaskan,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan dilapor berkata, tiada larangan kepada pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam selagi tidak menjejaskan prinsip halalan toyyiban.

Menurut Zulkifli, keputusan itu selaras ketetapan JAKIM pada 2023 di samping dengan syarat antaranya penggunaan dekorasi itu bersifat tidak kekal, tiada penggunaan peralatan sembahan, serta dekorasi dan hiasan premis tidak boleh membabitkan paparan SPHM serta imej logo halal SPHM.

Terdahulu, isu berkenaan mencetuskan perbualan apabila dilaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengeluarkan pemakluman untuk tidak membenarkan dekorasi sempena perayaan Krismas di hotel dan premis makanan yang dipersijilkan halal di Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman dilapor berkata, larangan yang ditetapkan menerusi Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Melaka yang bersidang pada 31 Oktober lalu, bertujuan menjaga sensitiviti semua pihak dan memelihara integriti sijil terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top