am@hmetro.com.my
Muar: Misteri kehilangan seorang lelaki selepas dua hari tidak pulang ke rumah terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam parit disyaki kemalangan di Jalan Parit Penyengat, Parit Jawa di sini, pagi ini.
Mangsa, lelaki berusia 30 tahun yang juga pemandu lori ditemukan meninggal dunia selepas motosikal jenis Yamaha 100 dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam parit.
Difahamkan, nahas berlaku kira-kira 500 meter dari rumahnya selepas dilaporkan keluar rumah pada malam Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata hasil siasatan awal mendapati nahas berlaku pada jam 1.10 tengah hari kelmarin ketika mangsa dalam perjalanan ke Parit Nipah, di sini.
Raiz Mukhliz berkata, siasatan awal di lokasi mengesyaki mangsa terbabas ketika cuba mengelak lembu sebelum terjatuh ke dalam parit.
“Mangsa ditemukan orang awam jam 10.40 pagi selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar bekerja dua hari lalu.
“Pemeriksaan juga mendapati mangsa cedera parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menyeru saksi melihat kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhamad Azim Aziz di talian 018-9704143 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





