ZAKAT bukan sekadar perintah ALLAH SWT yang wajib ditunaikan apabila cukup syarat, bahkan ia merupakan satu instrumen sosial Islam yang berupaya mengubah nasib manusia dan membina keseimbangan dalam masyarakat.
Di sebalik angka kutipan zakat, tersimpan pelbagai kisah kehidupan asnaf yang bangkit daripada kesimpatan, anak-anak yang kembali menyambung pelajaran serta keluarga yang perlahan-lahan keluar daripada belenggu kemiskinan.
Apabila zakat diuruskan dan disalurkan dengan baik serta penuh amanah, ia bukan sahaja meringankan beban golongan memerlukan, bahkan mencetuskan impak besar kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial masyarakat secara keseluruhannya.
Duta Bulan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dr Abdullah Abdol Razak atau lebih dikenali dengan Ustaz Lah menjelaskan, kejayaan sistem zakat dan kesannya kepada masyarakat bukanlah satu cerita yang direka, bahkan fakta yang telah dibuktikan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
USTAZ LAH
“ALLAH SWT menciptakan manusia ini berbeza-beza. Ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang berjaya dalam perniagaan dan ada yang sebaliknya.
“Kita tidak boleh cakap kepada orang lain, kenapa kamu miskin dan tidak berjaya dalam perniagaan sedangkan aku boleh buat?
“Hakikatnya rezeki yang ALLAH SWT berikan kepada kita ini berbeza-beza dan zakatlah yang menyempurnakannya. Ternyata ia telah memberikan impak yang sangat luar biasa kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus bertajuk ‘Nak Rezeki Melekat Tapi Lupa Zakat’ yang dibawakan khas oleh MAINS.
Zakat terbukti berjaya ubah masyarakat
Menurut Ustaz Lah, beliau secara peribadi juga merasai manfaat daripada bantuan pendidikan melalui pusat zakat ketika menyambung pengajian di Jordan.
“Hari ini ramai anak kita dapat belajar dengan duit zakat yang diagihkan MAINS dan Majlis Agama Islam Negeri yang lain. Jadi ia memberikan impak yang boleh mengubah kehidupan masyarakat.
“Sebagai contoh, anak-anak asnaf yang tidak berkemampuan untuk menyambung pelajaran, MAINS bantu mereka dalam pendidikan.
“Begitu juga bagi mereka yang mahu berniaga, MAINS turut menyediakan peluang perniagaan kepada mereka,” ujarnya.
Tambahnya, kesan sistem zakat kepada masyarakat juga boleh dilihat apabila meningkatnya pembayar zakat daripada golongan yang dahulunya merupakan asnaf penerima zakat.
Bagaimanapun katanya, masih ramai lagi asnaf dalam kalangan fakir dan miskin memerlukan bantuan zakat ini dalam usaha mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.
“Oleh itu, saya menyeru orang ramai agar menyemak kiraan zakat masing-masing dan tunaikan kewajipan berzakat ini selain mengajak ahli keluarga serta rakan-rakan sekerja berbuat demikian agar lebih ramai anggota masyarakat mendapat manfaat daripadanya.
“Kalau semua orang melaksanakan zakat, kita akan dapat melihat satu impak yang sangat luar biasa kepada masyarakat,” jelasnya.
Peluang menangi pakej umrah
Sementara itu, Penolong Pegawai Unit Dakwah, Bahagian Dakwah dan Pemasaran MAINS, Ustaz Abdul Hadi Abdul Aziz menjelaskan, pihaknya kini giat melakukan kempen kesedaran menunaikan zakat kepada orang ramai termasuk golongan muda melalui Bulan Zakat MAINS 2025.

USTAZ ABDUL HADI
“Hari ini orang ramai terutamanya golongan muda sangat dekat dengan media sosial. Jadi kami di MAINS turut memperkasakan platform media sosial supaya segala informasi daripada pihak kami sampai kepada mereka.
“Kami mahukan golongan muda ini mendapat kesedaran awal untuk menunaikan zakat dan kami juga mahu mereka mengetahui skim bantuan yang MAINS tawarkan selain dikongsikan kepada rakan-rakan untuk manfaat dan capaian lebih luas,” katanya.
Sambungnya, pada tahun ini, MAINS menyediakan hadiah berupa pakej umrah dan orang ramai yang membayar zakat harta sebelum 31 Disember 2025 berpeluang memenanginya.
“Selain itu, pembayar zakat dengan minimum RM500 juga berpeluang memenangi dinar dan bar emas serta pakej percutian di Klana Beach Resort, Port Dickson.
“Ini merupakan tanda terima kasih kepada pembayar zakat yang sentiasa memberi sokongan kepada MAINS,” ujarnya.

ORANG ramai yang membayar zakat melalui MAINS berpeluang memenangi pakej umrah, dinar emas, bar emas dan pakej percutian sempena Bulan Zakat MAINS 2025.
Tambah Ustaz Abdul Hadi, dalam kempen terbaharu MAINS menyediakan tawaran perkhidmatan pengurusan harta merangkumi hibah, wasiat dan lain-lain secara percuma kepada sesiapa yang menunaikan zakat sebanyak RM100,000 bersama MAINS.
Maklumat lanjut mengenai kempen Bulan Zakat MAINS 2025 boleh diperoleh melalui laman web rasmi di www.mains.gov.my atau di semua platform media sosial rasmi mereka.
Ringkasan AI
- Zakat adalah instrumen sosial Islam yang mengubah nasib manusia dan membina keseimbangan dalam masyarakat
- Pengurusan dan penyaluran zakat yang baik meningkatkan pembangunan ekonomi, pendidikan, dan kesejahteraan sosial
- Ustaz Lah menyatakan sistem zakat telah membuktikan kejayaannya dalam mengubah masyarakat sejak zaman Rasulullah SAW
- Zakat berperanan penting dalam pendidikan dan pembangunan ekonomi, termasuk membantu asnaf menyambung pelajaran dan memulakan perniagaan
- MAINS aktif dalam kempen kesedaran zakat dan menawarkan hadiah seperti pakej umrah kepada pembayar zakat, serta menggalakkan penggunaan media sosial untuk menyebarkan informasi berkaitan zakat





