Tak Patah Semangat, Ryan Bakery Tenang Dikatakan ‘Zaman Sudah Berakhir’… Pilih Fokus Projek Lebih Besar

Tak Patah Semangat, Ryan Bakery Tenang Dikatakan ‘Zaman Sudah Berakhir’… Pilih Fokus Projek Lebih Besar


Pelakon dan pencipta kandungan popular, Ryan Bakery tidak terkesan apabila ada pihak berpendapat zaman kegemilangannya sudah berakhir berikutan kemunculan ramai pencipta kandungan baharu di media sosial.

Menurut peserta Famili Duo itu, walaupun persaingan semakin sengit, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya kerana bidang ini merupakan kerjaya sepenuh masanya.

“Ada yang kata zaman saya sudah habis. Sebenarnya saya tidak fikir soal itu pun. Saya masih terus menghasilkan kandungan kerana ini kerja saya, sama ada untuk media sosial atau kempen jenama.

“Cuma untuk pertandingan anugerah seperti ini, mungkin saya sudah rasa tidak begitu sesuai. Bukannya kecewa, malah saya rasa seronok sebab sekarang lebih banyak kandungan menarik yang kita boleh tonton.

“Saya ambil ia sebagai cabaran untuk lihat macam mana saya boleh menyesuaikan diri dengan humor Gen Z,” katanya kepada XTRA.

Ryan berkata demikian ketika ditemui media di malam kemuncak OhBulan! Paling Viral Online, kelmarin.

@xtra_my Anugerah Digital Content Paling Viral dimenangi oleh Ryan Bakery! Tahniah Ryan!🔥 #ohbulan #ohbulanpalingviralonline ♬ original sound – XTRA

Di acara terbabit, Ryan memenangi anugerah Digital Content Creator Paling Viral.

Menafikan dakwaan kononnya dia ‘merajuk’ kerana kini kurang aktif memuat naik kandungan seperti dahulu, Ryan menjelaskan dia sebenarnya sedang memberi tumpuan kepada projek lebih besar.

“Bukan merajuk, cuma sekarang saya sedang cuba teroka bidang baharu. Insya-Allah tahun depan saya akan terlibat dengan dua buah filem. Selain itu, saya juga diberi peluang untuk mengarah sebuah telefilem,” katanya.

Dalam masa sama, Ryan mengakui gaya kandungan berunsur nostalgia yang pernah melonjakkan namanya sebelum ini mungkin tidak lagi begitu dekat dengan generasi baharu.

“Kandungan lama saya mungkin lebih dekat dengan orang yang sebaya dengan saya. Generasi sekarang pula melalui pengalaman hidup yang berbeza. Saya lihat ada ramai pencipta kandungan lain yang berjaya menyesuaikan diri dengan generasi baharu. Saya pun kena belajar supaya tidak ketinggalan,” ujarnya.





Source link

OR

Scroll to Top