Agungkan Allah SWT, bimbangi pelakuan syirik

Agungkan Allah SWT, bimbangi pelakuan syirik


– Advertisement –

KESYIRIKAN yang terjadi adalah dikeranakan kurang mengagungkan Allah SWT. Ramai orang sedar bahawa semua rezeki itu datang daripada Allah SWT, tetapi kenapa masih ramai dalam kalangan kita, bersandar kepada mahkluk? Ada yang parahnya lagi memberikan sesuatu ‘hidangan’ kepada makhluk halus sebagai pengerasnya agar apa diusahakan menjadi atau berhasil dan ada juga menggunakan tangkal azimat atau pergi ke tempat-tempat yang disangkakan ada keramat dan sebagainya yang jelas syiriknya. Kenapa terjadi begini? Dikeranakan manusia tidak mengagungkan Allah S.W.T.

Ramai juga yang melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji, tetapi di samping itu mereka masih melakukan sesuatu bukan kerana Allah SWT. Ingat firman Allah SWT dalam surah Al-an’am ayat 162 bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-An’am: 162)

Jadi kita mesti mengagungkan Allah SWT dan tiada lagi bergantung atau bersandar kepada selain Allah SWT. Jangan samakan Allah SWT dengan makhluk sebab Allah SWT adalah Tuhan yang menciptakan seluruh makhluk itu sendiri. Jadi yang semestinya tersimpan kukuh di benak kita dan terpahat di hati kita adalah Allah SWT itu Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Apa sahaja masalah manusia, Allah SWT akan selesaikannya. Jadi dalam apa sahaja masalah, ingat kepada Allah SWT dan memohon pertolongan-Nya. Seandainya sakit, Allah SWT akan sembuhkan. Kalau ekonomi sempit, Allah SWT akan perluaskan dan seandainya berdoa kepada-Nya, Dia akan makbulkan. Yang penting kalian mesti berani berubah untuk kembali mengagungkan-Nya dan menyandarkan seluruh harapan kepada-Nya.

Kita tidak memiliki apa-apa, sedangkan diri kita sendiri dan semua yang ada ini milik Allah SWT bukan milik kita. Jadi sepatutnya tidak ada apa-apa alasan untuk kita banggakan dan riyakkan dalam kehidupan kita ini, kerana hanya Allah SWT yang Maha Agung dan Berkuasa. Kita sangat fakir miskin dari segala-galanya. Jadi sentiasa memohon ampun di atas kekurangan dan kelemahan kita ini kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan mereka (yang musyrik) tidak mengagungkan Allah SWT dengan pengagungan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan.” (Az-Zumar: 67)

Apa yang disekutukan dengan Allah SWT?

Contohnya, patung berhala. Bagaimana boleh disamakan dengan Allah SWT, matahari, api dan lain-lain. Sedangkan semuanya yang di bumi dan di langit ini, di dalam genggaman Allah SWT. Jadi bagaimana ada yang masih menyekutukan Allah SWT dengan makhluk-Nya. Masih tidak taat dan patuh dengan perintah Allah SWT.

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) mengagungkan Allah S.W.T sesuai dengan pengagungan yang sebenarnya ketika mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”. Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): “Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?” Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.” (Al-An’am: 91)

Firman Allah SWT dalam surah lain yang bermaksud:

“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah S.W.T itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”

“Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak mengagungkan Allah S.W.T menurut pengagungan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkan-Nya); sesungguhnya Allah S.W.T adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hajj: 73-74)

Perhatikanlah, secanggih manapun otak manusia, sehebat manapun kekuatan akalnya, serta dikumpulkan semua manusia dan sembahannya yang mereka menyekutukan Allah SWT dengannya, mereka tidak akan pernah dapat menciptakan seekor lalat. Tetapi kenapa masih ada manusia yang menyekutukan Allah SWT, kerana mereka tidak mengagungkan Allah SWT dengan selayaknya.

Jadi pergunakanlah akal untuk memikirkan, seandainya sekarang ini dikumpulkan semua tenaga-tenaga pakar seluruh dunia dengan kecanggihan peralatan yang ada dan silakan cipta seekor lalat yang kecil itu, sudah pastinya mereka tidak mampu menciptakannya. Jadi kenapa masih sombong dan bertuhankan yang lain selain daripada Allah SWT. Dan ingatlah sesungguhnya Allah SWT Maha Agung dan Kuat.

Kalau ada yang bertanya, apakah penyebab kesyirikan dan kesombongan ini Jawapannya kerana kebodohan dan kezaliman. Hal ini, ada manusia yang tidak menyetujuinya. Diberitahukan kepada mereka bahawa Allah SWT itu Esa. Seperti firman Allah dalam surah Al-Ikhlas yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.” (Al-Ikhlas: 1-4)

Sesiapa yang menggunakan akalnya dan memahami makna ayat di atas, maka akan jelas kepadanya siapa Tuhannya yang sebenar iaitu Allah SWT. Allah SWT itu tidak mungkin punya anak, Tuhan itu tidak mungkin berbilang-bilang. Tetapi kerana mereka tidak menggunakan akalnya dengan baik, maka mereka gagal untuk dapat mengagungkan Allah SWT.

Fitrah kita meyakini bahawa Allah SWT itu Maha Pencipta lagi Maha Esa. Mengenai Nama-nama, Zat dan Sifat-sifat Allah SWT, kita memerlukan wahyu untuk menjelaskannya.

Dalam surah Az-Zumar ayat 67 di atas tadi ada menyebutkan, di akhirat kelak bumi keseluruhannya berada di dalam genggaman Allah SWT dan langit-langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Allah mempunyai tangan? Seandainya kalian terbayangkan tangan Allah S.W.T seperti tangan makhluk-Nya, maka rujuklah kepada surah Ash-Shura ayat 11. Jangan membayangkan sifat Allah S.W.T sama seperti makhluk. لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ (“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia”)  

“Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Ash-Shura: 11)

لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ (“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”) Manusia juga mendengar dan melihat begitu juga haiwan. Apakah sama melihat dan mendengarnya Allah SWT dengan makhluk? Jawabnya tidak sama. Jadi begitu juga genggaman-Nya. Tiada sesuatu yang serupa dengan Allah SWT.

Ibnu Mas’ud menyebutkan bahawa salah seorang pendeta (ulama) Yahudi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata yang maksudnya:

“Wahai Muhammad sesungguhnya kami menjumpai (dalam kitab suci kami) bahawa Allah SWT meletakkan langit di atas satu jari, bumi di atas satu jari, air di atas satu jari dan seluruh makhluk di atas satu jari, maka Allah SWT berfirman ‘Aku-lah Penguasa’ Tatkala mendengarnya, tertawalah Nabi SAW sehingga nampak gigi-gigi beliau kerana membenarkan ucapan Yahudi itu kemudian Beliau membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: “..Mereka tidak mengagungkan Allah S.W.T dengan pengagungan yang sebenar-benarnya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya di akhirat kelak..” (Az-Zumar: 67)

Allah SWT berfirman, ‘Aku Penguasa’. Allah SWT adalah Raja dan Pemilik setiap sesuatu yang ada di langit dan bumi ini. Kita tidak mampu berbuat apa-apa kecuali dengan izin-Nya. Dan Allah SWT cuma memberikan amanah kepada manusia untuk menjaganya. Sebab itu, sekiranya berlaku sesuatu musibah dan kematian, kita akan melafazkan, ‘إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ – “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami Kembali.” Ini satu lafaz pengagungan terhadap Allah SWT. Kami milik Allah SWT bermakna seluruh makhluk adalah milik Allah SWT.

Ketika pendeta Yahudi itu berkata begitu dan Nabi SAW ketawa, mempercayai dan membenarkan ucapan itu. Ibnu Mas’ud telah menyatakan mengenai firman Allah SWT seperti dalam surah Az-Zumar di atas. Seandainya ucapan pendeta Yahudi itu berupa hinaan terhadap Allah SWT sudah pasti Nabi SAW akan marah bukan ketawa. Apa-apa yang Nabi SAW sabdakan, kita mesti beriman dengannya, kita wajib percaya dan dengan keyakinan bahawa لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ (“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia”) Simpan semua keyakinan ini kukuh-kukuh di benak kita.

Nabi membacakan dalam hadis itu mengenai firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 67 itu – “..Mereka tidak mengagungkan Allah S.W.T dengan pengagungan yang sebenar-benarnya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya di akhirat kelak..”

Nabi menerima ucapan Yahudi ini kerana dia menyampaikan kebenaran walaupun sebenarnya dia musuh.

Jadi orang-orang yang melakukan kesyirikan itu adalah orang-orang yang tidak mengagungkan Allah SWT seperti menyembah pokok-pokok yang besar, batu-batu yang besar, gua-gua, sedangkan semuanya itu berada di dalam genggaman dan di jari Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“…gunung-gunung dan pokok-pokok di atas satu jari, kemudian Dia menggoncangkan-Nya, dan Dia berfirman, ‘Aku-lah Penguasa, Aku-lah Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ini tambahan ke atas hadis di atas untuk mereka yang mengaku dirinya Tuhan dan berkuasa. Contohnya seperti Firaun, yang mengaku bahawa dialah tuhan yang paling tinggi. Kemana akhirnya Firaun? Ditelan oleh lautan bersama bala tenteranya. Tetapi masih ada yang tidak mengambil pelajaran. Contoh lainnya, Qarun, menjadi orang yang terkaya di masa itu. Kemana akhirnya Qarun? Ditelan bumi dengan semua harta kekayaannya.

Jadi macam mana berjaya dan kuatnya manusia, tetap ianya makhluk Allah SWT dan tak mungkin boleh disamakan dengan Al-Khalid. Jadi agungkanlah Allah SWT dengan selayaknya.

Disebutkan dalam Riwayat lain oleh Al-Bukhari yang bermaksud:
“…Dia meletakkan semua langit di atas satu jari, air serta tanah di atas satu jari dan seluruh makhluk di atas satu jari…” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan tentang kebesaran Allah SWT. Langit yang kita lihat tiada hujungnya. Tetapi apabila dilihat dengan teleskop ke langit, akan didapati banyaknya planet-planet dia atas sana yang ada juga sebesar bumi dan ada yang lebih besar dari bumi. Adanya matahari, bintang-bintang dan bulan juga di atas sana. Semuanya berada di jari Allah SWT, baik yang ada di langit, di bumi, di dalam perut bumi dan juga di dalam lautan.

Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah SWT akan menggulung seluruh lapisan langit pada hari kiamat, lalu diambil dengan tangan kanan-Nya dan berfirman, ‘Aku-lah Penguasa, mana orang-orang yang berlaku zalim, mana orang-orang yang berlaku sombong?’ Kemudian Allah SWT menggulung tujuh lapis bumi, lalu diambil dengan tangan kiri-Nya dan berfirman, ‘Aku-lah Penguasa, mana orang-orang yang berlaku zalim, mana orang-orang yang berlaku sombong?.” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah SWT murka dan bertanya di dalam ayat di atas, di mana orang-orang yang zalim dan yang sombong. Kenapa Allah SWT bertanya? Kerana ada di kalangan manusia yang merasakan agung, mereka berasa besar, dan mereka berasa berkuasa. Tetapi pada hari itu, jelas manusia itu tidak ada apa-apa.

Semuanya akan berada di tangan Allah SWT. Semuanya kecil bagi Allah SWT atas apa-apa sahaja yang sudah diciptakan-Nya. Dan Nabi SAW menceritakan apa yang akan berlaku nanti di hari kiamat di dalam hadis di atas. Dan Allah SWT bertanya, mana orang-orang yang zalim dan sombong yang bangga dengan penguasaannya, yang ramai pengikutnya, yang bertimbunnya hartanya, yang tinggi kemahiran dan pelajarannya, yang tinggi pangkatnya, yang terhormat keturunannya dan lain-lainnya.

Di mana mereka, Allah SWT bertanya dan milik siapa kekuasaan pada hari itu? Milik Allah SWT. Jadi sebelum Allah SWT bertanya di ketika hari perhitungan itu nanti, maka agungkan Allah SWT dan jangan sesekali pernah menyembah dan meminta-minta kepada selain Allah SWT.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa pada hari Mahsyar nanti semua akan dibangkitkan sesuai dengan amalannya. Mereka, orang-orang yang sombong dan zalim, dibangkitkan pada hari kiamat dengan penuh kehinaan.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud.
“Pada hari kiamat orang-orang yang sombong akan dibangkitkan dan dikumpulkan seperti semut kecil, di dalam bentuk manusia, kehinaan akan meliputi mereka dari berbagai sisi dan arah.” (Hadis Hasan. Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia berkata yang maksudnya:

“Tidaklah langit yang tujuh dan bumi yang tujuh di telapak tangan Ar-Rahman, melainkan bagaikan sebutir biji sawi yang berada di tangan seseorang di antara kamu.”

Jadi hadis ini hendaklah diperhatikan, di mana ianya menceritakan bahawa tujuh lapis bumi dan langit ini, di sisi Allah SWT hanya sebesar biji sawi yang berada di telapak tangan kalian. Jadi apalah yang kita nak sombongkan sangat dengan sedikit kelebihan yang Allah SWT telah berikan kepada kita. Allah SWT sahaja yang Maha Agung dan Maha Kuasa.

Ibnu Jarir berkata, “Yunus menyatakan kepadaku, daripada Ibnu Wahb, daripada Ibnu Zaid, daripada ayahnya (Zaid bin Aslam), dia menyatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah ketujuh langit itu berada di Kursi, melainkan tujuh keping dirham yang di letakkan di atas perisai.”

Berkaitan dengan pemisalan Rasulullah SAW, agar manusia menggambarkan mengenai kebesaran Allah SWT berbanding dengan lemah dan kecilnya makhluk. Allahu Akbar! Disebutkan di sini, Kursi itu adalah tempat telapak kaki Allah SWT. Ingat! لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ (“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia”)

Ibnu Jarir berkata pula bahawa Abu Dzar RA menyebutkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah Kursi itu berada di ‘Arasy, melainkan bagaikan sebuah gelang besi yang dicampakkan di tengah padang pasir.”

Jadi Kursi itu, bagaikan gelang besi yang dicampakkan di padang pasir yang diumpamakan ‘Arasy Allah SWT. Jadi kena belajar mengenai kebesaran dan keagungan Allah SWT agar kita dapat merasakan keagungan Allah SWT dalam diri kita. Kita sekarang ini tengah diberitahu oleh Allah SWT dan Nabi SAW mengenai kebesaran Allah SWT agar kita hanya berserah diri hanya kepada Allah SWT dan mengagungkan Allah SWT dengan selayaknya.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud bahawa dia menyatakan yang bermaksud:

“Antara langit dunia dengan langit berikutnya jaraknya 500 tahun, dan antara setiap langit jaraknya 500 tahun, antara langit ketujuh dengan Kursi jaraknya 500 tahun, dan antara Kursi dan air jaraknya 500 tahun, sedang ‘Arasy berada di atas air itu, dan Allah S.W.T berada di atas ‘Arasy tersebut, tidak tersembunyi bagi Allah S.W.T suatu apa pun daripada perbuatan kalian.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Mahdi daripada Hamad bin Salamah, daripada ‘Ashim, daripada Zirr, daripada Abdullah bin Mas’ud)

Ucapan Abdullah bin Mas’ud ini tidak mungkin daripada dirinya sendiri kerana berbicara mengenai perkara ghaib sehingga hukumnya, hukum yang marfu’ (disandarkan) kepada Nabi SAW. Kalau ditanya mengenai hukum solat witir dua kali, mungkin ada yang menerangkannya mengikut ijtihad para Sahabat RA. Tetapi bila ditanya mengenai yang ghaib, ini tidak mungkin dijawab kecuali dengan wahyu yang didengar. Contoh: antara langit dunia dan seterusnya, yang kita tahu langit yang kita lihat sahaja, yang seterusnya, hanya Allah SWT yang tahu.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang,…” (Al-Mulk: 5)

Dan antara selapis langit dengan selapis langit yang lainnya 500 tahun jaraknya. Kenapa Allah SWT sering menyebutkan mengenai tujuh langit? Kerana kondisi langit itu mempunyai jarak sedangkan bumi juga tujuh lapis tetapi tidak berjarak, merapat antara satu lapis dengan lapisnya yang lain. Wallahua’lam.

Jarak antara kita dengan Allah SWT, bawah dan atas. Kita di bumi dan Allah SWT, jauh di atas ‘Arasy-Nya. Tetapi apa sahaja yang disebutkan mengenai Sifat dan Zat Allah SWT, tidak sama sekali menyerupai dengan sifat makhluk-Nya. لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ (“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia”).

Dan diriwayatkan dengan lafaz seperti ini oleh Al-Mas’ud daripada ‘Asim daripada Abu Wa’il daripada Abdullah, demikian dinyatakan Adz-Dzahabi, lalu katanya, “Atsar tersebut diriwayatkan melalui beberapa jalan.”

Al-Abbas bin Abdul Muththalib RA menyebutkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tahukah kalain berapa jarak antara langit dan bumi? Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Beliau bersabda, “Antara langit dan bumi jaraknya perjalanan 500 tahun, dan antara satu langit ke langit lainnya jaraknya perjalanan 500 tahun, sedang ketebalan masing-masing langit adalah perjalanan 500 tahun. Antara langit yang ketujuh dengan ‘Arasy ada samudera (air) dan antara samudera itu dengan permukaannya seperti jarak antara langit dengan bumi. Allah SWT di atas itu semua dan tidak tersembunyi bagi-Nya sesuatu apa pun dari perbuatan anak keturunan Adam.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan ahli hadis lainnya)

Hadis yang terakhir ini secara sanadnya diperselisihkan oleh para ulama. Sebahagian ulama mensahihkan sanadnya. Secara maknanya, kita dapat memahami apa yang disebutkan dalam hadis riwayat Abdullah bin Mas’ud RA. Hanya di sini ada tambahan ketebalan langit 500 tahun perjalanan dan kemudian air (laut samudera) ketebalannya juga 500 tahun perjalanan. Wallahua’lam.

Yang jelasnya semua ini menunjukkan akan kebesaran Allah SWT, keagungan Allah SWT dan Allah SWT bersama kita, iaitu Allah SWT tahu dengan apa sahaja yang terjadi kepada kita.

Ketika Allah SWT mengutus Nabi Musa AS bersama Harun untuk berdakwah kepada Firaun, Allah berfirman yang bermaksud, “Aku bersama kalian, Aku Mendengar dan Melihat.”

Jadi tak ada yang tersembunyi dari Penglihatan, Pendengaran dan Pengetahuan Allah SWT walau sedikitpun.

Allah berfirman kepada Nabi Musa dan Harun di ketika mereka di perintahkan oleh Allah SWT untuk menghadap dan mendakwahkan Firaun, yang bermaksud:
“Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.” (Thaha: 26)

Jelas di sini Allah SWT bersama kita. Manusia menjadi kuat dan berani, di saat dia merasakan Allah SWT yang Maha Agung lagi Maha Perkasa sentiasa bersamanya. Jadi kita beriman dengan apa sahaja yang termakna dari ayat-ayat dan hadis-hadis di atas dan kena simpan kukuh di benak kita bahawa Allah S.W.T itu لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ (“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia”) sama ada Sifat atau Zat-Nya dan Perbuatan-Nya. Jadi jangan dipersoalkan bagaimana, di mana, kenapa Allah S.W.T begitu dan begini. Wallahua’lam.

Penutup:
Alhamdulillah selesai pembelajaran masalah tauhid yang merupakan hak Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya agar kita dapat beribadah dengan cara yang benar dan agar kita tidak terjebak dalam kesyirikan kerana kebanyakan kita adalah Islam, Islam keturunan yang kadang kala mengikut tradisi dan budaya yang ada tanpa mengetahui apakah dalam pandangan agama kita, diperbolehkan atau tidak setiap perlakuan itu.

Kadangkala masih dapat dilihat, banyak antara aktiviti peribadahan tidak sesuai dengan tauhid atau akidah Islam yang sebenarnya. Seperti masih ada orang yang pakai dan percaya pada tangkal azimat, mencari dan memohon kekayaan atau sesuatu keinginan di tempat-tempat yang dipercayai ada keramat seperti di kubur-kubur tokoh tertentu, gunung-gunung dan gua-gua tertentu, di laut-laut dan lain-lainnya. Semua ini adalah syirik kepada Allah SWT.

Kembalilah kepada ikrar kita di hadapan Allah SWT iaitu:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-An’am: 162)

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Adh-Dhariyat: 56)

Wallahua’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan, Pahang – HARAKAHDAILY 21/9/2024

– Advertisement –

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top