saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Legenda sepak takraw Thailand, Pornchai Kaokaew mengakui terkejut dengan kegagalan skuad negara itu mara ke final acara regu Sukan Sea Thailand selepas tewas kepada Vietnam di separuh akhir, Sabtu lalu.
Berlangsung di Stadium Gimnasium Nakhon Pathom, Vietnam mencipta kejutan apabila menyingkirkan Thailand 15-13, 6-15, 15-9 di separuh akhir, sekali gus menafikan pertembungan final impian antara Malaysia dan Thailand.
Pornchai yang mengumumkan persaraannya pada Ogos lalu selepas meraih pelbagai kejayaan bersama Thailand, menyifatkan kekalahan itu sebagai sesuatu sukar diterima, terutama kerana ia tidak pernah dialaminya sepanjang kariernya bergelar pemain kebangsaan.
“Terlalu banyak perubahan dalam sepak takraw Thailand. Kegagalan ini menandakan satu masalah besar kerana sepanjang saya beraksi, saya tidak pernah melalui situasi seperti ini,” katanya.
Bekas perejam terkenal dunia itu turut mengakui amat terkejut dengan kekalahan berkenaan.
“Saya sangat terkejut tewas kepada Vietnam. Jika kalah kepada Malaysia, itu masih boleh diterima, tetapi kali ini kita kalah kepada Vietnam di separuh akhir. Sejujurnya, saya benar-benar terkejut,” katanya.
Pornchai turut memberi peringatan kepada pengurusan skuad Thailand supaya segera melakukan perubahan menyeluruh bagi mengelakkan pasukan itu terus ketinggalan di peringkat antarabangsa.
“Perubahan pada masa depan mesti bermula daripada pembangunan belia. Saya mahu lebih banyak pertandingan yang sengit supaya kita dapat mengenal pasti bintang muda sebagai pelapis kepada pemain senior ketika ini,” katanya.
Malaysia di bawah bimbingan Ahmad Jais Baharun muncul juara acara regu selepas menewaskan Vietnam 15-9, 15-9 pada aksi final untuk menghadiahkan pingat emas terakhir kepada kontinjen negara.
Regu dibarisi Syahir Mohd Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) menunjukkan keyakinan tinggi apabila tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama.
Pada awal set kedua, Haziq Hairul Nizam masuk menggantikan Syahir dan skuad negara terus konsisten selepas itu untuk melakar kemenangan mutlak.
Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad negara menewaskan Filipina di pentas final.
Sebelum itu, Thailand juga dimalukan oleh Malaysia, yang mencipta detik manis menamatkan kemarau 34 tahun dengan meraih emas acara regu berpasukan lelaki.
Anak buah Ahmad Jais ketika itu meraih kemenangan 2-1, meninggalkan Thailand terkedu tumbang di halaman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd





