MAAHAD Tahfiz Al-Quran Al-Islah mencipta detik bersejarah tersendiri apabila melancarkan program Medical Tahfiz yang menggabungkan pengajian al-Quran dan bidang perubatan serta sains kesihatan sempena Sambutan Jubli Perak institusi itu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, inisiatif ini menunjukkan kepada masyarakat bahawa institusi tahfiz bukan sekadar tempat melahirkan penghafaz al-Quran, tetapi turut menjadi medan melahirkan profesional berjiwa rabbani yang mampu berkhidmat secara langsung kepada masyarakat dan negara.
“Program Medical Tahfiz yang diperkenalkan MTQI membuka laluan strategik kepada para huffaz untuk menceburi bidang perubatan, sekali gus menjawab keperluan semasa masyarakat terhadap tenaga kesihatan yang bukan sahaja cekap secara teknikal, tetapi juga berakhlak, berintegriti dan berteraskan nilai keimanan.
“Bidang perubatan mempunyai kaitan rapat dengan amanah menyelamatkan nyawa manusia, justeru ia amat signifikan digandingkan dengan pendidikan al-Quran.
“Bayangkan, seorang doktor yang menghafaz 30 juzuk al-Quran memiliki ketenangan jiwa, beliau mempunyai kebergantungan tinggi kepada ALLAH SWT serta kepekaan nilai ihsan dalam merawat pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebelum merasmikan Sambutan Jubli Perak MTQI dan Peluncuran Program Medical Tahfiz di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi MAIS, Tan Sri Mazlan Mansor. Turut hadir Pengerusi MTQI, Profesor Dr Muhamad Rahimi Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Medical Tahfiz MTQI, Dr Mohammad Nawar Ariffin.
TETAMU kehormat bergambar kenangan bersama kakitangan MTQI.
Tambah Salehuddin, Medical Tahfiz bukan sekadar program akademik, sebaliknya ia merupakan satu pendekatan pendidikan holistik yang menyasarkan kelahiran doktor yang beradab dan bertakwa, penyelidik yang bermaruah dan berintegriti serta pemimpin kesihatan yang berpegang teguh dengan nilai rabbani.
“Pendekatan ini diyakini mampu membentuk generasi profesional Muslim yang seimbang dari sudut spiritual, intelektual dan kemanusiaan, selari dengan cabaran dunia perubatan moden yang semakin kompleks.
“Selain itu, program ini turut membuktikan bahawa pendidikan tahfiz mampu bergerak seiring dengan disiplin profesional lain tanpa mengorbankan kualiti hafazan al-Quran. Malah, integrasi ilmu naqli dan aqli dilihat sebagai kekuatan baharu dalam membina generasi huffaz masa depan yang berdaya saing di peringkat global,” jelasnya.

MAZLAN (tengah) bersama tetamu kehormat Majlis Sambutan Jubli Perak MTQI dan Peluncuran Medical Tahfiz di Shah Alam baru-baru ini.
Katanya lagi, usaha ini selari dengan aspirasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menekankan pembangunan pendidikan Islam seimbang serta keperluan memperkukuh tadbir urus dan integriti institusi tahfiz di negeri ini.
MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut komited menyokong pendekatan inovatif seperti Medical Tahfiz melalui kerangka dasar, pemantauan dan bimbingan berterusan bagi memastikan program dilaksanakan secara profesional dan berkesan, ujarnya.
Ringkasan AI
- MAAHAD Tahfiz Al-Quran Al-Islah melancarkan program Medical Tahfiz yang menggabungkan pengajian al-Quran dengan bidang perubatan
- Program ini ditujukan untuk melahirkan profesional berjiwa rabbani yang mampu berkhidmat kepada masyarakat dan negara
- Medical Tahfiz dianggap sebagai pendekatan pendidikan holistik untuk menghasilkan doktor, penyelidik, dan pemimpin kesihatan yang beradab, bertakwa, dan berintegriti
- Tujuan program ini adalah untuk menyepadukan ilmu naqli (agama) dan aqli (sains/akal) sehingga mencipta generasi huffaz yang seimbang dan kompetitif di peringkat global
- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) komited untuk menyokong inisiatif ini melalui kerangka dasar, pemantauan, dan bimbingan berterusan





