Sering kelihatan bersama dan kerap berkongsi momen di media sosial, personaliti media sosial, Ammar tampil memberi pencerahan mengenai status hubungannya dengan usahawan dan pempengaruh popular, Cik Epal.
Menurut Ammar, keakraban mereka hanyalah atas urusan kerja dan mereka banyak menghabiskan masa bersama kerana menjalankan perniagaan.
“Sebenarnya, saya bersama Cik Epal atas urusan kerja, sebab itu ramai yang nampak kami selalu bersama. Hubungan kami hanyalah rakan sekerja sahaja. Tentang masa depan, saya sendiri tidak tahu bagaimana perjalanan hidup nanti.
“Buat masa sekarang, fokus kami memang pada kerja. Saya sebenarnya pengurus Cik Epal dan menguruskan perniagaannya, Pizza Mendonia. Jadi kebanyakan masa kami bersama adalah kerana kerja,” katanya.
Ammar berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet & Greet bersama Senario, Cik Epal dan Ammar yang berlangsung di Jakel Melaka, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Cik Epal turut bersetuju dengan kenyataan Ammar dan mengakui selesa dengan hubungan profesional serta persahabatan yang ada antara mereka.
“Apa yang Ammar jelaskan itu memang betul. Sebab itu kami selalu dilihat bersama. Saya selesa berkawan dengannya kerana Ammar banyak membantu dan memberi pandangan yang baik terutama dalam urusan kerja.
“Kalau ada jodoh, Alhamdulillah. Kalau tidak, tidak mengapa. Kami tetap boleh berkawan seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan perkara baik,” katanya.
Pada masa sama, Ammar turut meluahkan rasa syukur apabila diberi kepercayaan oleh Jakel untuk menjadi duta kempen Raya Jakel 2026, hasil daripada peluang yang turut berkait dengan rezeki Cik Epal.
“Terima kasih kepada Cik Epal dan Jakel. Mungkin kerana saya sering menemani Cik Epal ke acara Jakel sebelum ini, akhirnya saya sendiri dijemput menjadi duta untuk kempen Raya 2026. Di sebalik rezeki Cik Epal, ada juga rezeki untuk saya. Saya sangat bersyukur,” katanya.






