Tabiat Verstappen main simulator seawal 2 pagi

Tabiat Verstappen main simulator seawal 2 pagi


London: Pemandu Belanda, Max Verstappen menyaksikan dominasinya dalam Formula Satu (F1) terhenti musim ini, tetapi itu tidak mengubah tabiat yang menjadikannya antara pemandu paling dominan dalam sejarah sukan itu.

Salah satu faktor utama kejayaan Verstappen adalah pemikiran elitnya iaitu sesuatu yang dipeliharanya walaupun ketika dia tidak berada di belakang stereng kereta Red Bullnya.

Walaupun rentetan empat kejuaraannya terhenti pada 2025 oleh pemandu McLaren, Lando Norris, pemandu Belanda itu mendedahkan salah satu rutin paling mencabar dan luar biasa yang dilakukannya.

“Saya bangun dan menghidupkan simulator. Pada pukul 2 pagi? Ya, saya memang pernah buat begitu,” akui Verstappen dalam podcast Talking Bull.

Menggunakan simulator pada bila-bila masa adalah sebahagian daripada persiapannya dan menunjukkan tahap obsesi kompetitif yang membentuk dirinya walaupun di luar hujung minggu perlumbaan.

Dalam satu temu bual bersama BBC, ‘Mad Max’ membincangkan kemungkinan berpindah pasukan dalam F1.

Walaupun dia tidak menolak kemungkinan itu, dia menegaskan prestasi semata-mata tidak akan menjadi faktor penentu.

“Jika saya pernah menukar pasukan, ia bukan hanya kerana saya memerlukan kereta yang lebih laju atau persekitaran baharu.

“Terdapat banyak perkara yang berkaitan dengan kerjaya F1 saya dan kehidupan saya di luar yang perlu selari,” jelas Verstappen.

Verstappen turut mendedahkan perbincangan yang berlaku awal tahun ini mengenai kemungkinan berpindah ke Mercedes, sambil merenung faktor penting baginya jika dia mempertimbangkan untuk meninggalkan Red Bull pada masa depan.

Walaupun mempunyai kontrak untuk berlumba bersama pasukan berpangkalan di Milton Keynes sehingga akhir 2028, spekulasi yang mengaitkan Verstappen dengan kemungkinan perpindahan ke Mercedes mula timbul pada pertengahan musim 2025.

Perkara itu diselesaikan sebelum Grand Prix (GP) Hungary pada Ogos apabila Verstappen mengesahkan dia akan terus berlumba untuk Red Bull pada 2026.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk menghentikan semua khabar angin dan bagi saya, ia sentiasa jelas saya akan kekal.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top