sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya menamatkan aksi terakhir pusingan pertama Liga Super dengan nota ceria selepas menewaskan Kelantan TRW FC, 2-0, dalam pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Luqman Hakim Shamsudin muncul wira skuad Hobin Jang Hobin apabila jaringannya membantu pasukan itu melakar kemenangan keempat musim ini.
Peluang pertukaran jadual perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Kota Bharu atas faktor cuaca, dimanfaatkan sepenuhnya oleh Negeri Sembilan untuk meraih tiga mata selepas kali terakhir mereka berjaya berbuat demikian pada 25 Oktober lalu menewaskan PDRM FC, 2-0, di Paroi.
Sebaik bermula, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan agresif dengan saling menyerang antara satu sama lain.
Langkah Negeri Sembilan menurunkan penyerang super sub, mereka, Mio Tsuneyasu dalam kesebelasan utama dan merehatkan Joseph Esso, dilihat memberi impak apabila dia berjaya memainkan peranan proaktif di barisan hadapan dengan mencipta beberapa gerakan menarik terutama dalam tempoh 30 minit pertama.
Kesungguhan tinggi anak buah Nidzam Jamil untuk mendapatkan gol berhasil apabila Luqman Hakim Shamsudin memanfaatkan bola lorongan Motika untuk meledak gol pertama menewaskan penjaga gol Kelantan, Azfar Arif Mohd Shukri pada minit ke-36.
Jaringan itu menyemarakkan lagi semangat pemain skuad Rusa apabila dilihat terus melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan sehingga penghujung separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Luqman Hakim memanfaatkan kesilapan Azfar Arif yang gagal menampan bola di luar kotak penalti dan ia membolehkan penyerang itu melarikan bola sebelum menolak masuk ke dalam gawang untuk gol kedua pada minit ke-49.
Meskipun ketinggalan, anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilihat cuba bangkit dan tidak berputus asa untuk mendapatkan gol dengan beberapa peluang berjaya dicipta, namun gagal diterjemahkan dengan sempurna sehingga ke wisel penamat.
Keputusan perlawanan berpihak kepada Negeri Sembilan telah menceriakan 3,205 orang penyokong yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd






