Maiduguri, Nigeria: Sekurang-kurangnya tujuh jemaah maut selepas satu letupan menggegarkan sebuah masjid di bandar Maiduguri, timur laut Nigeria, pada Rabu.
Menurut saksi dan sumber keselamatan, kejadian berlaku di sebuah masjid yang sesak di kawasan pasar Gamboru ketika umat Islam berkumpul menunaikan solat Maghrib kira-kira 6 petang.
Sumber sama memaklumkan, letupan itu berlaku di dalam masjid ketika solat.
Dalam pada itu, ketua militia antijihad, Babakura Kolo berkata, kejadian itu disyaki berpunca daripada serangan pengeboman.
“Tiada kumpulan bersenjata setakat ini mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan,” katanya.
Jelasnya, bom itu dipercayai diletakkan di dalam masjid dan meletup di pertengahan solat, manakala beberapa saksi mendakwa ia adalah serangan bom bunuh diri.
Sementara itu, salah seorang pemimpin masjid, Malam Abuna Yusuf berkata, lapan orang terkorban, namun angka rasmi korban belum dikeluarkan pihak berkuasa.
Jurucakap polis, Nahum Daso pula mengesahkan, berlaku letupan dan memaklumkan pasukan pelupusan bahan letupan sudah berada di lokasi.
Bagaimanapun, menurut salah seorang saksi, Isa Musa Yusha’u, jumlah mangsa cedera masih belum diketahui tetapi ramai mangsa dibawa keluar untuk menerima rawatan perubatan.
Rakaman video selepas kejadian menunjukkan seorang individu berlumuran darah terbaring di atas tanah serta beberapa mayat yang ditutup dengan kain.
Maiduguri adalah ibu negeri Borno yang menjadi lokasi pemberontakan berpanjangan kumpulan jihad Boko Haram dan Wilayah Afrika Barat Negara Islam.
Maiduguri sebelum ini berada dalam keadaan tenang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan serangan besar terakhir direkodkan pada 2021.
Namun, kebimbangan meningkat terhadap kebangkitan semula keganasan di beberapa bahagian timur laut Nigeria.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik jihad di Nigeria sejak 2009 mengorbankan sekurang-kurangnya 40,000 nyawa dan menyebabkan kira-kira dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
© New Straits Times Press (M) Bhd






