Masalah bola mati jadi duri dalam daging Liverpool musim ini

Masalah bola mati jadi duri dalam daging Liverpool musim ini


London: Ketua jurulatih Liverpool, Arne Slot, berkata adalah mustahil bagi pasukannya untuk berada dalam kelompok empat teratas dengan rekod lemah mereka pada situasi bola mati.

Liverpool memasuki Krismas di belakang Chelsea yang berada di tangga keempat berdasarkan beza jaringan, apabila keberkesanan mereka dari permainan terbuka menampung masalah yang dihadapi ketika sepakan percuma, sepakan penjuru dan lontaran ke dalam.

Pasukan itu hanya menjaringkan tiga gol daripada situasi bola mati sambil bolos 11 gol musim ini, satu perkara yang mengecewakan Slot.

“Saya tahu betapa pentingnya aspek ini, ia semakin kritikal, dan itulah sebabnya kami begitu kecewa dengan rekod semasa kami,” kata Slot.

“Ia amat mengecewakan apabila kami berada di kedudukan sebegini musim ini kerana separuh musim lalu (ketika kami menjuarai liga) kami belum bolos satu gol pun dari bola mati.

“Adalah mustahil untuk berada di kelompok empat atau lima teratas dengan keseimbangan bola mati kami, apatah lagi menjuarai liga.

“Kami satu-satunya pasukan di bahagian atas liga yang mempunyai keseimbangan bola mati negatif (Manchester City negatif satu menurut pembekal data rasmi Opta) bukan sahaja negatif, kami negatif lapan dan masih setara mata dengan pasukan keempat.

“Tetapi jika kami negatif lapan, Chelsea saya rasa lapan (sebenarnya empat) dan Arsenal serta United sangat tinggi (10 gol masing-masing) dan jika dilihat, boleh dikatakan betapa istimewanya kami mendapat sebanyak mata yang ada dengan keseimbangan bola mati itu.

“Kita semua tahu sebabnya, kerana dari peluang terbuka yang dicipta, kami nombor satu liga,” katanya.

Masalah kecederaan turut membebankan Slot apabila Alexander Isak dijangka akan terlepas beberapa bulan selepas menjalani pembedahan pada kecederaan buku lali dan retakan tulang kaki kiri bawahnya.

Slot berharap rakan penyerang, Cody Gakpo, dan pertahanan sayap, Conor Bradley, cukup cergas untuk kembali ketika menentang Wolves, tetapi peluang mereka dinilai 50-50.

Dengan Mohamed Salah berada di Piala Negara-negara Afrika, pertahanan Joe Gomez mengalami kecederaan hamstring, Wataru Endo bermasalah dengan buku lali, dan pemain tengah Dominik Szoboszlai digantung, skuad nipis Slot bakal diuji sepanjang musim perayaan.

“Ini masanya pemain yang ada untuk melakukan apa yang telah mereka lakukan berkali-kali dan menggulung lengan baju. Bukan sahaja pemain, tetapi juga penyokong kami,” kata Slot.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top