Rumah persaraan Ronaldo RM163 juta

Rumah persaraan Ronaldo RM163 juta


Riyadh: Cristiano Ronaldo dijangka berpindah ke rumah mewahnya bernilai £30 juta (RM163 juta) sebaik sahaja beliau menamatkan karier bola sepaknya.

Kerja-kerja pembinaan untuk hartanah mewah itu telah selesai di sebuah resort pesisir pantai eksklusif, hanya 48 kilometer dari Lisbon, Portugal.

Rumah besar terbabit antara kediaman paling besar dan mahal di negara itu. Ia dilengkapi kolam renang infiniti yang luas dan garaj bawah tanah untuk menyimpan koleksi kereta Ronaldo bernilai £12 juta (RM65 juta).

Projek hartanah itu yang mempunyai lapan bilik tidur mengambil masa lebih tiga tahun untuk disiapkan dan dijangka Ronaldo yang kini bermain untuk Al-Nassr di Arab Saudi akan berpindah selepas bersara.

Kediaman itu turut menampilkan kolam renang kaca gergasi dengan laluan bawah air supaya tetamu dapat melihat siapa yang berenang di atas.

Ronaldo dengan nilai anggaran £1.4 bilion (RM7.64 bilion) dan pasangannya, Georgina Rodríguez juga akan dapat menikmati beberapa kemudahan eksklusif seperti pemanasan pintar, gimnasium, kolam renang dalaman dan luaran, bilik urut, serta bilik pawagam.

Terdapat juga kawasan permainan untuk lima anak mereka, sementara keluarga dapat bersantai di pantai peribadi mereka sendiri.

Antara kemewahan lain termasuk paip emas, marmar Itali, malah mural Louis Vuitton yang direka khas untuk pasangan terbabit.

Ronaldo turut cuba membeli padang golf bersebelahan rumah barunya untuk menambah tahap keselamatan, tetapi tawarannya ditolak.

Kediaman itu adalah tambahan terbaru dalam portfolio hartanah bekas bintang Manchester United itu.

Beliau juga memiliki penthouse mewah bernilai £6 juta (RM32 juta) di Lisbon yang menawarkan pemandangan 360 darjah ibu kota Portugal. Ia dilengkapi tiga suite luas, dua kolam renang (satu dalaman, satu luaran), gimnasium, sauna, dan bilik pawagam.

Ronaldo turut memiliki hartanah di kampung halamannya di Madeira. Berasal dari keluarga sederhana di Funchal, beliau membesar di rumah kecil dengan keselesaan minima, sering bermain tanpa kasut dengan bola sementara.

Kini, beliau memiliki kediaman lain bernilai jutaan pound di bandar asalnya, termasuk gudang terbiar yang diubah suai dengan pemandangan Lautan Atlantik, dua kolam renang, dan padang bola peribadi.

Ronaldo juga mengekalkan mansion di kawasan eksklusif La Finca, Madrid. Direka oleh Joaquín Torres, arkitek terkenal di Sepanyol yang mempunyai 36 bilik termasuk lima suite seluas 70 meter persegi lengkap dengan dua bilik mandi dan jacuzzi, bilik almari bergerak, serta ruang tamu berkembar yang menakjubkan.

Hartanah itu turut mempunyai taman indah, kolam renang besar, gimnasium, sauna, dan garaj untuk enam kereta.

Selain itu, beliau juga memiliki vila mewah di Turin, Itali semasa bermain untuk Juventus lengkap dengan pemandangan bandar, sauna, mandian Turki, kolam dalaman, gimnasium peribadi, bilik pawagam, dan garaj dengan lif.

Bintang bola sepak sensasi ini turut dilaporkan membeli sebuah apartmen £15 juta (RM81 juta) di Trump Tower, New York. Unit di tingkat 56 itu menawarkan pemandangan bandar dan Central Park.

Semasa bermain di Arab Saudi, Ronaldo tinggal di sebuah pulau peribadi dikenali sebagai “Billionaire’s Island” yang bernilai sekitar £12 juta (RM65 juta), terletak di kompleks eksklusif dengan tahap keselamatan tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top