am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India di Hentian Bas Ekspres Machang, 1 Disember lalu.
Tertuduh, Iqmal Haizi Zapudi, 28, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan penyeludupan migran membabitkan lapan warga India termasuk tiga wanita di Hentian Bas Ekspres Machang, dekat Machang jam 10.30 malam pada, 1 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang juga kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana kes itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang tidak boleh dijamin.
Katanya, kesemua migran yang ditahan masih belum dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Majistret Machang.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd





