Pelakon Nazim Othman beranggapan keputusan rakan gandingannya, Aprena Manrose yang kini dilihat tidak lagi berhijab buat langkah mudah.
Menerusi komen yang ditinggalkan di akaun rasmi media sosial program hiburan, Nazim berkata setiap ujian yang manusia lalui berbeza dan tahap keimanan ada turun naiknya.
BACA: Aprena Manrose Dah Tak Bertudung?
“Assalamualaikum semua, semoga kalian berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sejak promosi drama ini keluar di media sosial, rata-rata komen memperkatakan mengenai imej rakan lakon saya yang kini tampil tanpa hijab.
“Ujian setiap manusia berbeza. Kami ada sedikit perbualan semasa set penggambaran mengenai turun naik iman masing-masing. Iya, pelakon pun ada berbincang soal perkara ini sesama sendiri,” tulisnya.
Sementara itu, Nazim berkata Aprena masih ada pegangan, namun ketika ini pada tahap rapuh serta meminta mendoakan yang baik-baik buat Aprena.
“Berdasarkan pemerhatian saya, dia masih ada pegangan cuma berada di fasa rapuh. Saya tidak cuba menghalalkan apa yang salah, cuma saya rasa ralat dengan komen-komen sinis.
“Dia berdiam diri, tetapi dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Mohon doakan yang baik-baik untuknya, saya dan diri kalian sendiri. Semoga kebaikan berbalik kepada kalian juga,” katanya.





