AKPS rampas sosej tiada dokumen import dan tolak kemasukan 4 lelaki warga China disyaki bukan pelancong tulen

AKPS rampas sosej tiada dokumen import dan tolak kemasukan 4 lelaki warga China disyaki bukan pelancong tulen


am@hmetro.com.my

Bukit Kayu Hitam: Cubaan membawa masuk 360 kilogram (kg) pelbagai jenis sosej ke negara ini berjaya dihalang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, semalam.

AKPS dalam kenyataannya berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai jenis sosej yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan import yang sah daripada pihak berkuasa berkaitan, selain pelabelan yang tidak mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.

Menurutnya, barangan itu dibawa oleh dua orang wanita tempatan yang dianggarkan berusia lingkungan lewat 20-an.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak ditahan ketika operasi rampasan dijalankan dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,500.

Kenyataan itu berkata, kesemua barangan rampasan yang dirampas itu disimpan di stor sejuk (chiller) Jabatan Kesihatan bagi tujuan tindakan lanjut mengikut prosedur sedia ada.

Katanya, AKPS sentiasa komited dalam memastikan kawalan keselamatan dan pematuhan undang-undang di pintu masuk negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kompleks ICQS semalam, empat lelaki warganegara China ditolak kemasukan ke negara ini oleh AKPS Bukit Kayu Hitam di sini semalam kerana disyaki bukan pelancong tulen serta tidak mempunyai tujuan masuk ke negara ini.

Timbalan Komander Operasi AKPS, Noor Azam Ahmad berkata, kesemua mereka dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang rampasan dilakukan, dan kesemua warganegara asing kemudian diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.

“Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan pintu masuk negara sentiasa berada dalam kawalan yang ketat serta tidak disalah gunakan oleh mana-mana pihak.

“AKPS akan terus komited dalam melaksanakan penguatkuasaan berterusan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top