mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Semua pihak diminta tidak mengganggu proses reformasi atau perubahan yang sedang cuba dilaksanakan Datuk Ong Kim Swee terhadap Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), yang dianggap tunjang kepada masa depan bola sepak negara.
Ong Kim Swee, yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP menggantikan Oscar Francisco Gonzalez, berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Sejurus pelantikannya, beberapa perubahan awal mula dirangka termasuk rombakan barisan kejurulatihan, dengan ada kontrak jurulatih yang tidak disambung, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, menegaskan semua pihak seharusnya memberi ruang seluas-luasnya kepada Ong Kim Swee untuk melaksanakan perubahan mengikut acuan dan perancangannya sendiri.
Jamal yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) berkata, apa yang dilakukan Ong Kim Swee sebenarnya selari dengan tuntutan ramai sebelum ini yang mahu perubahan menyeluruh terhadap NFDP.
“Sekali air bah, sekali pantai berubah. Maknanya apabila ada pengurusan baharu, mereka mahukan satu perubahan supaya apa yang nak dibuat dalam NFDP atau Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) itu berkesan,” katanya.
Beliau percaya setiap keputusan yang dibuat bukanlah secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil penilaian menyeluruh terhadap sistem sedia ada.
“Saya percaya perubahan itu dilakukan selepas membuat penilaian, bukan terus buang. Kalau pengurusan baharu masuk dan tak ada apa-apa yang dilakukan, mana perubahan? Sedangkan sebelum ini ramai yang harapkan perubahan,” jelasnya.
Menurut Jamal, Ong Kim Swee juga perlu diberikan peluang untuk membuktikan keberkesanan perancangannya tanpa tekanan berlebihan daripada pihak luar.
“Bagi beliau ruang dan peluang untuk membuktikan. Jangan pula apabila beliau baru saja masuk sudah ada yang kata ini tak betul, itu tak betul, semua tak betul,” katanya.
Tambahnya, situasi sebegitu hanya akan menyukarkan perancangan jangka panjang yang ingin digerakkan demi kebaikan bola sepak negara.
“Jadi bagaimana perancangan nak bergerak, bagaimana nak buat perubahan? Janganlah jadikan benda ini sebagai satu isu yang boleh mematahkan semangat orang yang cuba nak buat perubahan demi kebaikan masa depan bola sepak negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jamal menegaskan fokus utama ketika ini seharusnya diberikan kepada pembaikan program pembangunan akar umbi, khususnya melalui NFDP, bagi memulihkan imej bola sepak negara.
Beliau percaya program seperti NFDP berpotensi melahirkan pemain bintang pada masa hadapan sekiranya dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berlandaskan perancangan yang betul.
“Soal isu pemalsuan dokumen pemain warisan contohnya, itu semua kita tunggu saja keputusan AFC dan FIFA kerana perkara itu sudah berlaku.
“Paling penting sekarang ialah fokus kepada masa depan skuad kebangsaan. Buat perancangan rapi untuk melahirkan seramai mungkin pemain berbakat dan tidak mustahil satu hari nanti kita mampu memiliki pemain terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





