4 'bayi tahun baharu' ceria sambutan 2026 di Ampang Puteri

4 'bayi tahun baharu' ceria sambutan 2026 di Ampang Puteri


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Detik awal Tahun Baharu 2026 disambut penuh makna di Hospital Pakar Ampang Puteri apabila empat bayi termasuk tiga perempuan dan seorang lelaki, selamat dilahirkan setakat jam 5 petang hari ini.

Tangisan pertama mereka menjadi simbol harapan dan permulaan baharu buat keluarga serta warga hospital yang menyaksikan kelahiran awal tahun ini.

Pengarah Perubatan merangkap Person In Charge (PIC) Hospital Pakar Ampang Puteri, Datuk Dr Azhar Md Noh, berkata kelahiran bayi tahun baharu itu memberi makna tersendiri buat beliau di hari pertamanya menyandang jawatan Pengarah Perubatan di sini.

“Seperti sambutan tahun baharu yang diraikan dengan kegembiraan, kelahiran bayi ini juga membawa kegembiraan dan harapan.

“Mereka adalah lambang masa depan, penuh janji dan potensi,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan cenderahati kepada keluarga terbabit.

Beliau berkata, setakat ini hospital itu merekodkan kelahiran empat bayi pada 1 Januari 2026 dan berharap tahun baharu ini membawa perkembangan positif buat institusi kesihatan berkenaan.

“Kami berharap 2026 menjadi tahun yang lebih baik untuk Hospital Pakar Ampang Puteri dan kami kekal komited memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli farmasi, Muhammed Suffian Abd Razak, 38, mengakui tidak menyangka menyambut kelahiran lebih awal daripada jangkaan, apatah lagi pada hari pertama tahun baharu.

“Kami memang tak bersedia sebab jangkaan bersalin pada 24 Januari. Pagi tadi isteri rasa sakit dan ingatkan biasa sahaja.

“Memang kelam-kabut, tapi alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Rasa lega, gembira dan teruja sebab ini bayi tahun baharu,” katanya.

Bayi lelaki itu adalah anak ketiga pasangan itu selepas dua anak perempuan, menjadikan kelahirannya lebih istimewa buat keluarga Muhammed Suffian.

“Nama pun belum sempat fikir lagi sebab dia keluar awal sangat. Tapi kami rasa bayi tahun baharu ni istimewa,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi pasangan akauntan, Khairani Khairuddin dan Muhammad Zariq Zulkifli, 31, yang bersyukur dengan kelahiran cahaya mata perempuan mereka pada 1 Januari.

“Memang ada rancang sekurang-kurangnya anak lahir tahun 2026 sebagai pembuka tahun.

“Tapi bila jadi ‘baby New Year’ ni, perasaan dia lain macam. Macam wah! sesuatu yang kami tak pernah jangka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top