Dari Sitkom Ikonik Ke Pentas Mega, Senariounion Umum Konsert Mega ‘The Last Kopek’ Sempena 30 Tahun

Dari Sitkom Ikonik Ke Pentas Mega, Senariounion Umum Konsert Mega ‘The Last Kopek’ Sempena 30 Tahun

Dari Sitkom Ikonik Ke Pentas Mega, Senariounion Umum Konsert Mega ‘The Last Kopek’ Sempena 30 Tahun


Ikon komedi tanah air, Senariounion, bakal kembali menggegarkan pentas menerusi konsert berskala mega bertajuk The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun sempena meraikan tiga dekad penubuhan kumpulan itu pada tahun depan.

Konsert anjuran Dreamscape Events yang diterbitkan Kapla Entertainment ini dijadual berlangsung di Idea Live Arena pada 25 April depan.

Wakil penganjur, Amardip Singh Pannu memaklumkan, pementasan kali ini menghimpunkan semula enam anggota Senariounion iaitu Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya dalam sebuah persembahan eksklusif yang membawa penonton mengimbau era kegemilangan komedi Malaysia. Penganjuran konsert itu juga dikatakan sebagai jawapan kepada permintaan peminat yang sekian lama menantikan kemunculan semula Senariounion dalam sebuah konsert besar.

Seorang lagi anggota asal, Hamdan Ramli, telah meninggal dunia pada Januari tahun lalu.

Menurut Amardip, The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun menjadi penganjuran yang pertama seumpamanya selepas sekian lama Senariounion tidak tampil dengan konsert berskala mega, sekali gus membuka ruang kepada sebuah momen yang sarat nostalgia untuk peminat.

“Konsert ini diharap menjadi detik istimewa yang menghidupkan semula kenangan zaman emas komedi tempatan. Ulang tahun ke-30 ini juga satu bentuk penghargaan kepada kumpulan yang banyak meninggalkan memori manis buat generasi yang membesar dengan jenaka dan muzik mereka sejak 1996,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Amardip, penganjur terdorong oleh pertanyaan ramai yang sering bertanya bila Senariounion, yang dianggap antara kumpulan terawal dan ikonik dalam arena komedi negara, akan kembali beraksi di pentas besar.

“Penganjuran ini diharapkan dapat mengubat rindu peminat yang mahu melihat Senariounion kembali menghibur secara langsung,” katanya lagi.

Konsert berkonsepkan gabungan nyanyian dan lawak jenaka santai itu bakal menampilkan Senariounion diiringi tujuh pemuzik bersama tiga pemain horn serta akordian. Susunan muzik baharu dan segar pula akan diterajui Chaan & The Leman Band selaku Pengarah Muzik.

Tiket ditawarkan pada harga RM138 (Motor Kapchai), RM188 (Cinta Berkarat), RM268 (Lip Lap Lip Lap), RM268 (Sebelum dan Sesudah), RM288 (Cinta Sate), RM388 (Cari Tapak) dan RM488 (Cepat Kaya). Pembelian boleh dibuat menerusi www.ilassotickets.com/Senariounion atau www.fantopia.io

Senariounion ditubuhkan hasil gabungan beberapa peserta program realiti Sinaran Passport Kegemilangan sebelum mula mencipta fenomena melalui sitkom yang menggunakan nama asal mereka, Senario, di TV3.

Sitkom ikonik yang mula mendominasi seawal 1996 itu mencatat jutaan tontonan, disusuli penerbitan album sulung Senario pada tahun sama, serta beberapa filem termasuk Senario The Movie arahan Aziz M Osman pada 1999 yang merekodkan kutipan box-office RM4.58 juta.

Amardip turut menekankan, sepanjang tiga dekad, Senariounion kekal relevan bukan sahaja melalui sitkom dan filem yang menghiburkan, malah menerusi lagu-lagu popular seperti Sebelum dan Sesudah, Lip Lap Lip Lap dan Cinta Berkarat yang dijangka menjadi pilihan pada malam konsert.

“Peminat Senariounion merentas etnik, umur dan latar belakang. Malah generasi muda termasuk Gen Z turut mengenali mereka melalui platform digital seperti TikTok. Jenaka masih disebut, lagu masih dimainkan. Itu yang membuatkan mereka terus dekat dengan peminat. Konsert ini dijangka menjadi pengalaman hiburan yang penuh nostalgia,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top