asmaini@mediaprima.com.my
Mudah disuai padan dengan dekorasi gaya moden mahupun vintaj.
Selain itu, dekorasi berkonsepkan gaya minimalis Perancis juga membantu menyerlahkan sesuatu ruang supaya tampak lebih kemas dan tenang.
Kelebihan itu mendorong Nur Fatin Qurratu Aini Zainal dan suami, Mohd Syahiran Mat Saad, memilih konsep dekorasi berkenaan dalam menata hias ‘syurga’ kecil mereka.
Menurut Nur Fatin, pemilihan konsep dekorasi gaya minimalis Perancis yang bertemakan moden klasik lembut dengan sentuhan ala Parisian membantu menaikkan lagi seri rumah berkenaan.
Katanya, dia dan suami perlu bijak memilih konsep dekorasi memandangkan keluasan binaan rumah teres setingkat milik mereka itu hanya seluas 800 kaki persegi.
“Berbeza dengan konsep hiasan lain, gaya minimalis Perancis tidak memerlukan dekorasi yang sarat.
“Penggunaan ‘wall molding’ atau ‘wainscoating’ sahaja contohnya, sudah memadai untuk menyerlahkan gaya dekorasi yang malar segar dan tidak lapuk ditelan waktu,” katanya.
Pencipta kandungan berusia 30 tahun itu berkata, pemilihan dekorasi gaya berkenaan juga disebabkan oleh minatnya terhadap aura Inggeris seumpama suasana dalam siri drama popular, ‘Emily In Paris’ dan ‘The Bridgerton’.
Kata Nur Fatin, ruang rumah yang memiliki karakter tersendiri terasa lebih ‘hidup’ meskipun dengan hanya dekorasi minimal.
Daripada segi penggunaan warna dan pemilihan perabot pula, Nur Fatin berkata, dia dan suami menyukai dinding rumah berwarna cerah kerana pilihan rona itu membantu menampakkan ruang lebih luas dan terang.
“Untuk perabot pula, kami padankan dengan perabot kayu atau sofa berwarna.
“Kami lebih mengutamakan aspek praktikal dan mudah dijaga supaya ruang sentiasa nampak kemas, teratur selain cantik pada pandangan,” katanya.
Pasangan itu turut melakukan ‘make over’ sendiri terhadap halaman rumah mereka untuk mewujudkan ruang ala kafe mini di taman.
Nur Fatin berkata, mempunyai halaman rumah berkonsepkan taman mini menjadi impiannya sejak dahulu lagi dan dia teruja dapat merealisasikannya.
Katanya, selepas hampir dua tahun menduduki rumah itu, barulah impian berkenaan dapat dipenuhi.
“Untuk menyiapkan dekorasi rumah ini, kami banyak mencari idea daripada kafe estetik, media sosial serta filem terutama daripada segi pemilihan warna dan susunan deko setiap ruangan.
“Menghias sendiri kediaman cukup memberi kepuasan kerana saya gemarkan cabaran, dan pada masa sama, saya dapat belajar serta mencuba pelbagai idea yang baharu.
“Memang gembira apabila dapat membuat semua ini mengikut bajet sendiri,” katanya.
Sementara itu, bagi memberi kelainan kepada dinding di ruang makan, Nur Fatin turut mempelajari proses pembuatan seni tekstur di laman sosial.
Katanya, seni tekstur pada dinding rumah itu sebenarnya sudah lama menjadi trend di negara luar.
“Apabila melihat banyak video seni tekstur ini muncul di media sosial, saya terdetik untuk mencuba dan tidak sangka hasilnya disukai ramai.
“Apa yang menariknya, seni tekstur jenis ini tahan lebih lama dan rekaannya yang timbul turut menampakkan seolah-olah ia ‘hidup’, sekali gus menyerikan lagi suasana ruang dinding,” katanya yang turut mengamalkan rutin mengemas rumah setiap hari bagi memastikan kediaman selesa untuk seisi keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd






