hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegiatan ‘mini kasino’ yang dijalankan di sebuah rumah di Lorong Sentul Bahagia 4, Jalan Sentul Pasar di sini terbongkar selepas diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Gengsterisme (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu menerusi Op Dadu itu turut memberkas lima individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian mini kasino jenis poker.
Bahagian D7 JSJ IPK Kuala Lumpur dalam kenyataannya hari ini berkata, tangkapan membabitkan lima lelaki berusia antara 23 hingga 42 tahun.
“Suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penganjur merangkap pemain (judi) dan menetap di rumah berkenaan.
“Turut ditahan tiga lagi lelaki warga tempatan serta seorang lelaki warga Kanada yang dipercayai pemain,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan yang digunakan semasa perjudian dijalankan, termasuk cip perjudian yang digunakan sebagai wang, daun terup serta alas meja poker.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen Malaysia 1959/63.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 3 Januari 2026 bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan polis akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk aktiviti perjudian haram yang menyalahi undang-undang di sekitar ibu negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






