Harimau belang dikesan berkeliaran di Hulu Tembeling

Harimau belang dikesan berkeliaran di Hulu Tembeling


am@hmetro.com.my

Jerantut: Harimau belang yang sebelum ini dilaporkan berkeliaran di Hulu Tembeling, di sini, masih dikesan di kawasan berkenaan sekali gus mengundang ketakutan kepada penduduk.

Kelibat terbaharu harimau itu dilihat di tepi jalan utama ke Kampung Bantal, dekat Taman Negara, di sini, semalam.

Menurut penduduk, Mohamad Syazwi Rosli, 29, dia terserempak dengan haiwan berkenaan pada 7 malam, ketika perjalanan pulang dari Kuala Tahan ke Kampung Bantal.

Katanya, ketika memandu di jalan itu, dia terserempak harimau terbabit berada di kanan jalan dan segera memberhentikan kenderaan.

“Sebaik memberhentikan kereta, harimau itu melintas jalan di depan saya dan memanjat tebing bukit di kiri jalan.

“Saya bertindak merakam video gelagat harimau itu dan lebih mengejutkan haiwan itu duduk di atas tebing bukit berhampiran lokasi saya memberhentikan kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Syazwi berkata, kehadiran harimau itu menyebabkan penduduk di beberapa kampung di Hulu Tembeling ketakutan dan ramai penoreh tidak berani ke kebun getah disebabkan lokasi haiwan itu sering berkeliaran.

Menurutnya, penduduk terbabit meliputi di Kampung Membatu, Kampung Seberang Bantal, Kampung Terus, Kampung Machang Perah, Kampung Semena dan Kampung Mat Daling.

Katanya, penduduk sudah melaporkan penemuan haiwan itu itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sejak November lalu.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera menyelesaikan ancaman harimau itu sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

“Sehingga kini, haiwan itu sudah membaham dua lembu dan menyerang seekor kerbau.

“Sejak harimau itu dikesan di Hulu Tembeling, penoreh takut ke kebun dan keadaan itu menjejaskan pendapatan kami,” katanya.

Pada 22 November lalu, tular di media sosial video seekor harimau berkeliaran di jalan menghala Kampung Membatu, di sini, dan disusuli penemuan kedua haiwan itu pada 8 Disember lalu, juga di lokasi sama.

Manakala pada 27 Disember lalu, seekor lembu betina bunting mati dibaham haiwan buas itu.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin, sebelum ini mengesahkan kewujudan harimau di Hulu Tembeling.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top