Gamel 'reda' status sementara, bangga ubah wajah Selangor

Gamel 'reda' status sementara, bangga ubah wajah Selangor


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel bersikap terbuka dan profesional mengenai masa depannya bersama pasukan itu, sambil mengakui statusnya sebagai jurulatih sementara perlu diterima dengan hati terbuka.

Menurut Gamel, keputusan mengenai kedudukannya bukan di tangannya, sebaliknya terletak sepenuhnya kepada pihak pengurusan kelab.

Beliau menjelaskan, jawatan sementara tetap bersifat tidak kekal dan sebagai jurulatih, beliau perlu bersedia menerima apa jua keputusan yang bakal dibuat.

“Saya rasa saya tidak layak. Jawatan sementara tetap sementara dan kita perlu terima hakikat itu.

“Sebagai jurulatih sementara, kita perlu adil. Apabila mereka kata mula, kita mula. Apabila mereka kata berhenti, kita berhenti,” katanya ketika ditanya mengenai kelayakannya untuk terus mengendalikan Selangor FC.

Terdahulu, Selangor FC tumbang 0-2 kepada seteru utama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Dua gol hasil daripada jaringan sendiri pertahanan import Selangor Richmond Ankrah dan penyerang JDT Bergson da Silva sudah cukup untuk memastikan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata penting.

Sementara itu, Walaupun mengakui kemungkinan situasi itu tidak adil, Gamel menyifatkan perkara berkenaan bukan isu besar dalam karier kejurulatihannya.

Beliau memahami realiti dunia bola sepak moden yang sering menuntut nama besar untuk memimpin sesebuah pasukan, terutama kelab berprofil tinggi seperti Selangor FC.

“Kadang-kadang mereka mahukan orang yang mempunyai nama lebih besar. Itu perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.

Bagaimanapun, Gamel meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pasukan sepanjang tempoh beliau mengendalikan Selangor FC.

Menurutnya, beliau berjaya melakukan perubahan ketara terhadap wajah pasukan, bukan sahaja dari segi taktikal, malah mentaliti pemain di atas padang.

“Saya sangat bangga dengan apa yang kami capai kerana saya telah mengubah wajah pasukan ini sepenuhnya,” katanya.

“Kami membangunkan bola sepak yang berfikiran serangan dan saya rasa ia sesuai dengan mentaliti Selangor,” katanya.

Mengikut rekod, sejak mengambil alih tugas mengemudi Selangor FC sejak September tahun lalu menyaksikan jurulatih dari Perancis itu merekodkan tujuh kemenangan dalam 17 perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top