28 September 2024 07:38amMasa membaca: 4 minit
Pemain Harimau Muda B-19, Zamirul Hakim mengasak Khushvakhtov Dzhovidon dalam aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe pada Jumaat. Foto FAM
IMPIAN skuad bola sepak Bawah 19 tahun (B-19) negara untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-20 seakan terpadam selepas tewas 0-1 kepada pasukan pilihan Tajikistan dalam perlawanan Kumpulan E yang berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe pada Jumaat.
Ini selepas satu lagi pasukan pilihan Korea Utara mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Oman bagi memastikan gergasi Asia Timur itu menamatkan kempen kelayakan dengan mengungguli kumpulan setelah mengumpul 10 mata.
Sebagai rekod hanya juara dan lima naib juara terbaik setiap kumpulan dengan China (tuan rumah) layak ke pusingan akhir ke temasya yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.
Harimau Muda B-19 kendalian Juan Torres Garrido sebelum itu tampil dengan dua pengalaman berdepan Oman dan Korea Utara memulakan aksi dengan menghadirkan beberapa percubaan ke arah gawang Tajikistan dikawal Makhmudzodda Shakobiddin dikendalikan pengendali dari Slovenia, Milos Kostic.
Namun keazaman tinggi barisan muda negara dinafikan jaringan minit ke-95 pemain tuan rumah Khushvakhtov Dzhovidon menewaskan kecemerlangan penjaga gol Harimau Muda B-19, Haziq Aiman.
Anak buah Garrido yang kini mengumpul empat mata selepas mengharungi tiga perlawanan akan berdepan Sri Lanka dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Republican Central, Dushanbe pada Ahad.