mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 10 syarikat yang dikesan terbabit dalam kegiatan penipuan membabitkan 109 laporan polis, telah dimasukkan ke dalam pangkalan data Semakmule CCID dalam tempoh sebulan sehingga 31 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, masing-masing sebanyak 19 laporan polis diterima ke atas syarikat CVC Grow Star Sdn Bhd dan CVC Group Sdn Bhd.
Menurutnya, selain itu 16 laporan polis pula masing-masing ke atas syarikat JMC M Trading Venture dan JMC Asia Top Solution.
“KGI HK Sdn Bhd juga 16 laporan polis diterima, Greenvale Trading Sdn Bhd (14), Titan Union Trading Sdn Bhd (14), Brightglobal Sdn Bhd (11), RXM Iglobal Solution (10) dan Apek Express Servicess (M) Sdn Bhd (9).
“Jangan tertipu dengan tawaran ‘kerja mudah’ mendaftar syarikat/perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan membuka akaun bank untuk pihak ketiga. Scammer menggunakan nama anda sebagai pelindung untuk aktiviti haram mereka,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, sindiket dipercayai memilih menggunakan akaun syarikat atau perniagaan kerana membolehkan aliran keluar masuk wang ratusan ribu ringgit sehari tanpa dapat dikesan secepat akaun peribadi.
“Selain itu, mangsa lebih mudah percaya untuk memasukkan wang ke dalam akaun atas nama ‘Syarikat ABC’ berbanding akaun bank milik individu.
“Malah scammer kekal bersembunyi di sebalik identiti mangsa yang didaftarkan secara sah di SSM,” katanya.
Beliau meminta orang ramai menyemak di portal Semakmule CCID dengan memasukkan nama syarikat atau nombor akaun bank meragukan, dan amaran akan dikeluarkan jika carian menunjukkan syarikat terbabit penipuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






