Wellington: Penggodam yang mendakwa mengakses rekod kesihatan lebih 100,000 individu di New Zealand dilaporkan melanjutkan tarikh akhir tuntutan wang tebusan hingga Jumaat, selepas menyatakan mereka mahu membina ‘reputasi baik’.
Platform milik persendirian Manage My Health memaklumkan penjenayah siber terbabit mengakses rekod enam hingga tujuh peratus daripada 1.8 juta penggunanya di negara itu.
Pihak berkuasa New Zealand setakat ini belum menamakan suspek di sebalik kebocoran data berkenaan, yang dikesan oleh Manage My Health pada 30 Disember lalu selepas dimaklumkan oleh seorang rakan kongsi.
Bagaimanapun, seorang pengguna Telegram menggunakan nama ‘Kazu’ mendakwa berjaya menceroboh lebih 428,000 fail dalam platform Manage My Health, selain menawarkan sampel fail untuk dimuat turun.
‘Kazu’ mendakwa menuntut wang tebusan sebanyak AS$60,000 (kira-kira RM243,181.45) yang perlu dibayar selewat-lewatnya pagi Selasa bagi mengelakkan fail berkenaan didedahkan atau dijual.
Akhbar harian New Zealand, The Post, melaporkan pada Selasa bahawa penggodam itu mengesahkan secara langsung tarikh akhir tebusan dilanjutkan hingga jam 5 pagi Jumaat.
Dalam satu hantaran terdahulu di Telegram, ‘Kazu’ menegaskan kumpulan itu bukan penggodam aktivis atau ‘haktivis’ yang mempunyai motif politik.
“Kami tahu dengan tepat betapa bernilainya data kesihatan dan betapa sensitifnya ia,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
“Kami melakukan ini sebagai satu perniagaan. Matlamat utama kami ialah wang dan membina reputasi baik dalam komuniti.”
Hantaran terbaharu ‘Kazu’ di Telegram turut merujuk kepada penahanan Presiden Venezuela oleh Amerika Syarikat dengan kenyataan: “bebaskan Nicolas Maduro.”
Portal Manage My Health di New Zealand menyimpan rekod perubatan pesakit serta maklumat peribadi seperti nombor telefon dan alamat.
Syarikat itu berkata, maklumat janji temu perubatan dan preskripsi tidak terjejas akibat pencerobohan berkenaan.
Menurutnya, pihak syarikat kini bekerjasama dengan pihak berkuasa New Zealand untuk mula menghubungi individu terjejas secara berasingan.
Menteri Kesihatan, Simeon Brown, pada Isnin melancarkan semakan terhadap respons Manage My Health susulan kebocoran data itu.
“Saya tahu kebocoran ini amat membimbangkan ramai rakyat New Zealand yang menggunakan ManageMyHealth, dan kita memerlukan jaminan berhubung perlindungan serta keselamatan data kesihatan orang ramai,” katanya.
“Kita mesti mengambil iktibar daripada insiden ini bagi mengelakkan kejadian berulang pada masa depan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd





