Uyaina dedah tabiat pelik idam emas ketika hamil

Uyaina dedah tabiat pelik idam emas ketika hamil


syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Mengidam emas itu memang betul, bukan ‘content’!”.

Demikian pengakuan pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mengenai tabiat peliknya sepanjang tempoh kehamilan anak ketiga kali ini.

Uyaina, 34, berkata pada mulanya dia hanya mengidam masakan tradisional Melayu, namun selera itu tiba-tiba berubah arah kepada perhiasan bernilai itu.

“Tiba-tiba rasa macam tak makan lauk Melayu pun tak apa, asalkan dapat beli emas. Suami (Raja Syahiran) pun sporting, dia bagi kad kredit untuk saya beli.

“Saya sampai ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan semata-mata nak cari emas sebab harganya di sana memang lebih murah.

“Tapi jangan risau, saya beli berpada-pada dan masih ada kesedaran ketika berbelanja,” katanya.

Gara-gara berkongsi hobi ‘mahal’ itu di media sosial, Uyaina mendedahkan dia menerima pelbagai reaksi lucu, termasuklah mesej daripada golongan suami yang mula rasa ‘terancam’.

“Paling kelakar bila ada suami orang hantar mesej minta saya berhenti kongsi pasal emas di media sosial. Mereka risau isteri masing-masing terpengaruh!

“Tapi bagi saya, tak salah pun beli emas sebagai hadiah untuk isteri hamil. Lagipun, emas ini pelaburan, suami juga yang untung nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem The Voice of Hind Rajab, semalam.

Bakal melahirkan cahaya mata ketiga dalam tempoh dua minggu lagi, Uyaina dan suami sepakat untuk tidak mengetahui jantina bayi sehingga hari kelahiran.

“Dokumen keputusan jantina yang doktor bagi pun saya belum buka lagi. Kami memang nak ‘surprise’. Walaupun jantina tak tahu lagi, tapi nama sudah kami siapkan,” katanya.

Uyaina mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021. Pasangan ini sudah dikurniakan dua anak lelaki iaitu Raja Urhan, 4, dan Raja Urayyan, 2.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top