Unesco iktiraf karya Hamzah Fansuri

Unesco iktiraf karya Hamzah Fansuri

Unesco iktiraf karya Hamzah Fansuri


KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus melakar kecemerlangan dalam  melestarikan warisan intelektual bangsa apabila dua manuskrip Melayu karya agung  Hamzah Fansuri, tokoh sufi dan sasterawan Nusantara abad ke-16, diiktiraf sebagai  Dokumen Warisan Dunia oleh UNESCO melalui Program Memory of the World (MoW) pada 17 April 2025.

Dua manuskrip koleksi PNM tersebut ialah Asrār al-‘Ārifīn (MSS  1424 (B) dan Syarāb al-‘Āsyiqīn (MSS 2538). Pengiktirafan ini merupakan hasil  kerjasama pencalonan bersama PNM dan Perpustakaan Nasional Indonesia  (PERPUSNAS) melalui manuskrip Syair Hamzah Fansuri (ML 83) dan Syair Anak  Dagang (NB 2165) dan telah mengukuhkan kedudukan manuskrip Melayu sebagai  sebahagian penting daripada khazanah dokumentari global. 

Program Memory of the World (MoW): Perlindungan Warisan Dokumentari  Dunia 

Dilancarkan pada 1992, Program Memory of the World (MoW) UNESCO bertujuan  melindungi, memelihara, dan mempromosikan warisan dokumentari dunia — meliputi  manuskrip, arkib, dan rekod sejarah bernilai tinggi dari seluruh dunia. Program ini  memastikan bahan yang menjadi asas kepada sejarah dan tamadun manusia dapat  diakses oleh generasi kini dan akan datang. Pengiktirafan MoW bukan sekadar  penghormatan, tetapi juga pemangkin kepada peningkatan usaha konservasi,  pendigitalan, serta penyelidikan ilmiah terhadap bahan dokumentari. 

Dengan pengiktirafan terbaharu ini, PNM menambah satu lagi kejayaan selepas  Hikayat Hang Tuah (2001), Koleksi Cerita Panji (2017) dan Misa Melayu (2023).  Rekod cemerlang ini menempatkan Malaysia antara negara paling aktif di Asia  Tenggara dalam usaha pemuliharaan warisan dokumentari menurut piawaian  antarabangsa. 

Pengaruh dan Legasi Hamzah Fansuri dalam Kesusasteraan dan Pemikiran  Melayu 

Hamzah Fansuri merupakan tokoh perintis dalam penulisan tasawuf Melayu dan  individu yang mempelopori penggunaan bentuk syair dengan skema rima a-a-a-a.  Beliau juga antara penulis Melayu terawal yang menampilkan namanya dalam karya,  suatu kelainan penting dalam tradisi kesusasteraan klasik yang biasanya tidak  menzahirkan identiti pengarang. 

Beliau meninggalkan legasi yang sangat besar dalam kesusasteraan dan pemikiran  Islam di Nusantara. Karya-karyanya bukan sahaja menjadi sumber rujukan utama  dalam kajian sufisme Melayu, tetapi juga menjadi model penulisan dalam bahasa  Melayu klasik yang mempengaruhi generasi penulis dan ulama selepasnya. 

Pemikiran beliau terus dikaji dan diapresiasi oleh para sarjana dan intelektual hingga  ke hari ini, menunjukkan betapa relevannya ajaran dan karya Hamzah dalam konteks  sejarah dan budaya Melayu. Legasi Hamzah Fansuri kekal sebagai sumber inspirasi, bukan sahaja dalam bidang kesusasteraan dan pemikiran Islam, tetapi juga dalam  usaha melestarikan warisan budaya Melayu demi generasi masa depan. 

Karya-karya Tersohor 

Manuskrip karya Hamzah Fansuri kini ditemui di pelbagai perpustakaan dan institusi  di Malaysia, Indonesia, Belanda serta sejumlah pusat akademik lain, baik di dalam  mahupun di luar negara. Antara karya beliau yang paling dikenali ialah Syair Perahu, Syair si Burung Pungguk, Syair si Burung Pingai (burung pipit), Syair Dagang, Asrār al-Ārifīn dan Syarāb al-’Āsyiqīn 

Daripada keseluruhan karya beliau, dua manuskrip paling penting dalam koleksi PNM  yang juga telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Dokumen Warisan Dunia melalui  Program Memory of the World ialah: 

  1. Asrār al-‘Ārifīn (MSS 1424 (B))(Rahsia Orang-orang Arif)  

Karya ini menghuraikan perjalanan spiritual para wali yang telah mencapai peringkat  makrifat tertinggi. Ia menyingkap pengalaman batin, limpahan cahaya ketuhanan,  serta detik-detik spiritual yang sukar diterjemah ke dalam bahasa biasa. Karya ini  membuktikan betapa Hamzah Fansuri berjaya mengangkat bahasa Melayu sebagai  medium falsafah, intelektual dan kerohanian yang bertaraf antarabangsa. Dengan  nilai sejarah, kesusasteraan dan kerohanian yang tinggi, manuskrip ini bukan sahaja  penting kepada masyarakat Melayu, malah kepada dunia kerana ia menggambarkan  tradisi intelektual Islam Nusantara yang unik. 

  1. Syarāb al-‘Āsyiqīn (MSS 2538)(Minuman Rohani Para Pencinta Ilahi) 

Syarāb al-‘Āsyiqīn ialah karya tasawuf Hamzah Fansuri yang menghuraikan  pengalaman cinta Ilahi dan perjalanan rohani para salik menuju makrifat. Melalui  simbol “minuman rohani”, karya ini menjelaskan limpahan cahaya ketuhanan, konsep  wahdat al-wujud serta penyatuan insan dengan hakikat Ilahi. Karya ini membuktikan  ketinggian pemikiran tasawuf Nusantara dan peranan bahasa Melayu sebagai  medium intelektual dan kerohanian bertaraf antarabangsa. 





Source link

OR

Scroll to Top