LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui berasa kecewa apabila terikat 0-0 di laman sendiri menentang Liverpool dalam aksi liga semalam sekali gus terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas carta.
Arsenal kehilangan tiga mata buat kali pertama sejak 6 Disember selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum menerima kunjungan Liverpool.
“Ya, setiap kali anda tidak menang (ia adalah peluang yang terlepas). Saya benar-benar perlu memuji pasukan atas apa yang telah mereka lakukan dalam tempoh Krismas ini.
“Untuk keluar daripada tempoh ini dengan semua isu yang kami hadapi, para pemain memang layak menerima semua pujian.
“Kami berada dalam kedudukan yang sangat kukuh dan kami perlu teruskan usaha,” kata Arteta.
Juara bertahan, Liverpool kekal 14 mata di belakang pendahulu liga tetapi tidak bolos sebarang gol dalam dua pertemuan dengan Arsenal musim ini. – AFP






