georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Zehra Zambri memaklumkan satu Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan sudah difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap bekas suaminya, Nur Mohd lqwan Samsudin.
Zehra, 39, berkata tindakan undang-undang difailkan berkenaan kenyataan fitnah yang sudah dibuat Nur Mohd Iqwan terhadapnya sewaktu proses perceraian sebelum ini.
“Kenyataan yang bersifat menghina dan tidak berasas ini sudah disebarkan secara meluas, seterusnya mencalarkan nama baik, maruah dan imej profesional saya.
“Tindakan undang-undang ini diambil bagi membetulkan tanggapan awam, memulihkan nama baik saya serta menegakkan keadilan. Keputusan untuk memfailkan saman ini dibuat selepas saya menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.
“Laporan polis yang dibuat oleh bekas suami saya terhadap saya sudah disiasat sepenuhnya yang mana pihak saya juga sudah memberikan kerjasama penuh,” jelasnya.
Zehra berkongsi, pihak berkuasa sudah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut (No Further Action / NFA). Keputusan itu jelas membuktikan bahawa laporan terbabit adalah tidak berasas dan berunsurkan fitnah.
“Saya sentiasa percaya kepada proses undang-undang yang telus dan adil di negara ini. Adalah menjadi hak dan keperluan saya untuk membela nama baik saya melalui satu tindakan sivil yang sah.
“Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan pembetulan pandangan awam dan ganti rugi bagi kemudaratan teruk yang sudah dialami akibat kenyataan fitnah terbabit.
“Saya berharap agar pihak media dan orang ramai dapat menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






