KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dan bertukar gempita apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengajak kira-kira 65,000 peminat yang hadir untuk berjoget lambak secara serentak.
Aksi spontan itu tercetus ketika Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, memasuki segmen lagu irama tradisional dalam Konsert Legacy30 Siti Nurhaliza yang berlangsung pada Sabtu.
“Kalau ikut adat orang dulu, apabila ada keraian dan keramaian, orang-orang akan berjoget lambak.
“Saya ajak semua yang hadir di sini untuk bangun dan joget lambak, boleh? Kita jadikan ini joget lambak terbesar.
“Silap-silap boleh masuk Malaysia Book of Records,” katanya berseloroh, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penonton.
Menerusi segmen berkenaan, penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu mempersembahkan rangkaian lagu etnik tradisional popular antaranya Joget Menanti Kasih, Balqis Ya Maulai serta Pandang Pandang Jeling Jeling.
Pada masa sama, Siti turut mendedikasikan lagu Cindai sebagai tanda mengenang jasa Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah atas sumbangan besar beliau dalam perjalanan seni penyanyi nombor satu negara itu.
Dalam perkembangan lain, Siti mengakui telah lama menyimpan hasrat untuk menaiki kren sebagai sebahagian daripada persembahan konsertnya.
“Hasrat itu sudah lama saya simpan sejak konsert terdahulu di Genting Highlands, namun ketika itu keadaan tidak mengizinkan kerana faktor ruang dan lokasi yang kurang sesuai.
“Alhamdulillah, akhirnya impian untuk naik kren dapat direalisasikan dalam konsert di Stadium Nasional malam ini,” katanya.
Menurut Siti, idea tersebut bukan sekadar gimik, sebaliknya bertujuan memudahkannya melihat dan mendekati peminat dari pelbagai sudut stadium.
“Apabila berada di tempat tinggi, saya dapat melihat peminat dengan lebih jelas, terutama mereka yang berada di bahagian atas hingga ke bawah,” jelasnya.
Terdahulu, Siti mempersembahkan lebih 30 buah lagu hit sepanjang tiga dekad bergelar anak seni dalam konsert berdurasi hampir tiga jam itu.
Konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis antaranya Aina Abdul, Awal Ashaari, Farah Fauzana, Wany Hasrita, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah. -UTUSAN






