Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri tidak menjangkakan pelakon popular Izara Aishah menerima lamarannya dalam menjalin kerjasama.
Berkolaborasi menerusi koleksi beg tangan terbaharu AS x Izara, Aliff menjelaskan keputusan memilih Izara sebagai rakan kolaborasi dibuat kerana tertarik dengan personaliti dan aura pelakon tersebut yang disifatkan memiliki kelas tersendiri.
“Saya kenal Izara dari jauh. Saya rasa dia seorang wanita yang ada kelas, ada gaya. Lagi saya takut nak dekati dia, lagi saya nak bekerjasama dengan dia. Saya kenal ramai artis, tapi Izara ada vibes yang tersendiri, nampak mahal,” katanya.
Menurut Aliff, dia sendiri tidak menyangka Izara bersetuju menerima pelawaan untuk bekerjasama, malah mengakui kagum dengan sikap Izara yang disifatkan sangat merendah diri dan mudah bekerja, jauh daripada tanggapan awalnya.
“Saya tak sangka pun Izara nak terima lamaran saya. Siapalah saya ni.. Kita cuba nasib je dan Alhamdulillah, kerjasama ini terjalin. Saya jangkakan dia ‘diva’, tapi dia bagus dan sangat humble,” jelasnya.
Mengulas proses kerja sepanjang kolaborasi, Aliff turut mendedahkan Izara mempunyai syarat serta batasan tertentu yang perlu dihormati, khususnya ketika penggambaran video promosi.
Katanya, perkara itu memudahkan urusan kerana kedua-dua pihak jelas tentang garis yang tidak boleh dilangkaui.
“Izara ada tetapkan syarat tersendiri. Kita tahu apa yang boleh, apa yang dia tak mahu. Bila buat video promosi dengan dia, tak adalah saya nak buat video TikTok berjoget, berpegangan. Saya seorang yang gila-gila tapi saya tahu batasan yang perlu saya jaga,” ujarnya.
Aliff turut memuji cara pembawaan Izara yang tetap sederhana meskipun berada pada tahap selebriti ternama.
“Di artis kelas A, tapi cara pembawaan diri dia sangat humble, macam artis baru nak mula,” katanya.
Sementara itu, Izara Aishah menyifatkan kerjasama bersama Aliff dan pasukannya berjalan lancar kerana masing-masing sudah memahami cara kerja serta sempadan yang ditetapkan sejak awal.
“Sebenarnya saya tak perlu cakap banyak apabila bekerjasama dengan Aliff dan team. Sebelum bekerjasama tu, mereka dah tahu Izara ni jenis yang bagaimana, batasan saya, cara kerja saya,” kata Izara.
Izara menambah, sikap Aliff yang menghormati dan memahami pendiriannya menjadi faktor utama yang membuatkan dirinya selesa untuk menerima pelawaan kolaborasi tersebut.
“Sebelum saya cakap pun, dia sudah tahu. Sebab itu saya senang menjalin kerjasama dengan mereka. Dia sangat menghormati saya, saya dah macam adik dia. Dia sangat rendah diri, cara dia respek saya. Itu buat saya terbuka hati nak menjalin kerjasama dengan mereka,” ujarnya.
Kolaborasi AS x Izara dijangka menjadi antara koleksi yang mencuri perhatian kerana menggabungkan jenama Aliff Syukri dengan sentuhan imej Izara yang sinonim dengan gaya elegan dan sofistikated.






