Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun mengakui pertemuannya bersama usahawan popular, Kak KM, baru-baru ini menjadi satu detik yang cukup bermakna, meskipun kedua-duanya pernah berbeza pandangan secara terbuka di media sosial.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ustazah Asma’ tidak menafikan dirinya sebelum ini sering menegur Kak KM secara terus terang, termasuk menyebut nama usahawan itu tanpa berselindung ketika sesi kuliah dan penulisan, khususnya berkaitan penampilan diri serta keluarga.
Namun, segala perbezaan itu tidak menghalang mereka daripada bertemu dalam suasana penuh adab dan saling menghormati, seolah-olah tiada sebarang isu panas yang pernah tercetus sebelum ini.
“Sesiapa yang biasa mengikuti kuliah dalam talian saya, terutama jam 7 pagi, tentu maklum saya sering menegur Kak KM secara terbuka dan tanpa berlapik.
“Namun apabila bertemu secara berdepan, suasananya sangat berbeza. Seolah-olah tiada konflik walaupun kami sering bertentangan pandangan di media sosial,” katanya.
Menurut Ustazah Asma’, Kak KM sendiri pernah meluahkan rasa tidak selesa dan mungkin berasa kurang senang terhadap teguran yang diberikan, namun perkara itu tidak menghalang kedua-duanya untuk terus menjaga adab sesama insan.
“Walaupun Kak KM pernah meluah rasa geram terhadap saya, kami masih mampu berinteraksi dengan saling menghormati,” jelasnya.
Ustazah Asma’ turut mendoakan agar Kak KM, keluarganya serta seluruh umat Islam sentiasa diberikan hidayah oleh Allah SWT, seterusnya berubah ke arah kebaikan, mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan sehingga ke akhir hayat.
Ustazah Asma’ menegaskan, sikap yang ditunjukkan ketika pertemuan itu lahir daripada keikhlasan hati dan bukannya bertujuan mencipta persepsi, meraih simpati atau perhatian umum.
“Jika setiap orang yang ditegur perlu disambut dengan wajah dingin, suara keras dan adab yang diputuskan, maka dakwah tidak lagi menjadi nasihat, sebaliknya bertukar menjadi permusuhan.
“Hakikatnya, interaksi di media sosial dan pertemuan secara berdepan adalah dua suasana yang sangat berbeza. Apa yang berlaku bukan kepura-puraan atau lakonan, tetapi lahir daripada rasa hormat dan kasih sesama manusia,” katanya.
Dalam masa sama, Ustazah Asma’ menegaskan dirinya tidak pernah menyimpan rasa benci terhadap mana-mana individu, namun tetap berpegang teguh pada prinsip untuk menegur perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Berbeza pendapat tidak pernah menjadi alasan untuk hilang akhlak. Salam tetap diberi, kasih sayang terhadap saudara seagama tetap dirasai.
“Berlapang dada ketika bertemu bukan bermaksud menghalalkan perkara yang salah. Teguran saya tidak pernah ditarik balik dan prinsip saya tidak pernah berubah,” tegasnya.
Tambahnya, yang berubah hanyalah situasi daripada teguran melalui tulisan dan kuliah kepada pertemuan secara bersemuka, di mana adab perlu sentiasa didahulukan.
“Saya tidak pernah membenci individu. Teguran saya adalah terhadap perbuatan yang melampaui batas agama dan dinormalisasi sehingga merosakkan nilai agama, adab serta budaya.
“Teguran itu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kasih sayang, bukan kebencian,” katanya.


Sebelum ini, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli berkongsi sebuah klip video memaparkan kegembiraannya apabila berpeluang bertemu Ustazah Asma’. Dalam pertemuan itu, pendakwah berkenaan turut menitipkan doa yang menyentuh hati sehingga membuatkan usahawan tersebut sebak.






