Sebanyak 80 perlawanan membabitkan aksi Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, dan Challenge Cup bagi musim 2024-2025 telah menggunakan sistem VAR setakat ini. Gambar hiasan
SEBANYAK 80 perlawanan membabitkan aksi Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, dan Challenge Cup bagi musim 2024-2025 telah menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram berkata, prestasi pengadil serta penggunaan VAR dinilai sangat cemerlang, dengan purata 0.57 ‘On-Field Review’ (OFR) bagi setiap perlawanan dan purata masa tambahan 2.27 minit digunakan untuk semakan VAR.
“Mengikut garis panduan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), bilangan OFR dan masa tambahan ‘VAR Review’ di liga kita berada pada paras terendah.
“Ini bermakna penggunaan VAR di Liga Malaysia pada ketika ini berada pada landasan yang terbaik sepertimana standard operasi VAR yang ditetapkan oleh FIFA,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Sivasundaram berkata, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan memulakan latihan VAR ‘Batch ke-2’ bermula Oktober 2024 dan dijangka akan tamat pada Februari 2025.
Katanya, barisan pengadil VAR fasa kedua terdiri daripada pengadil dan penolong pengadil yang muda dan berpotensi.
“Seramai 21 Pengadil akan dilatih sebagai pengadil VAR, 21 Penolong Pengadil sebagai ‘Assistant Video Assistant Referee’ (AVAR) dan 12 orang dilatih sebagai ‘Replay Operator’ (RO).
“Latihan kali ini juga melibatkan tiga pengadil wanita iaitu Nurul Ain Izzatty Zainal sebagai Pengadil VAR, Nur Akmal Anuar dan Munirah Ha Ali sebagai pengadil AVAR. Ketiga-tiga mereka ini diiktiraf sebagai ‘AFC Women Elite Referee’,” katanya.
Program pembangunan pengadil dan operasi VAR di Liga Malaysia mengikuti penanda aras yang ditetapkan oleh AFC dan FIFA, dengan FAM berusaha untuk memperkasa mutu serta martabat pengadil bola sepak negara.
Sementara itu, Sivasundaram turut merakamkan ucapan tahniah kepada pengadil negara Muhammad Nazmi Nasaruddin atas pretasi cemerlangnya dalam mengadili perlawanan bola sepak tempatan dan antarabangsa. – Bernama