Nahas bas dekat Rawang: Polis bantuan maut selepas ziarah ibu tiri meninggal dunia

Nahas bas dekat Rawang: Polis bantuan maut selepas ziarah ibu tiri meninggal dunia

Nahas bas dekat Rawang: Polis bantuan maut selepas ziarah ibu tiri meninggal dunia


am@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Perjalanan pulang seorang polis bantuan selepas menziarahi ibu tirinya yang meninggal dunia berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk bas ekspres di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara ke selatan, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa, Luqman Nul Hakim Halim, 37, berasal dari Kedah dan bekerja serta menetap di Batu Pahat, Johor, menaiki bas bersama isterinya, Nabila, 40, serta empat anak mereka untuk pulang ke rumahdi Batu Pahat.

Bas ekspres dinaiki keluarga berkenaan kemalangan dengan sebuah lori dan motosikal selepas dipercayai terbabas dan hilang kawalan.

Anak saudara mangsa, Nor Ashikin Nordin, 32, berkata, dia yang menerima panggilan yang memaklumkan kejadian itu bergegas ke Hospital Sungai Buloh dari kediamannya di Subang.

Menurutnya, berita itu amat mengejutkan memandangkan mereka sudah lama tidak berjumpa, selain keluarga juga baharu saja menerima khabar pemergian ibu tiri mangsa.

“Pada mulanya dimaklumkan arwah belum meninggal dunia.

“Saya terus ke hospital dan diminta menunggu di zon merah kerana keadaan arwah ketika itu kritikal,” katanya ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini hari ini.

Katanya, difahamkan doktor memaklumkan Luqman Nul Hakim mengalami cedera parah akibat tertusuk penghadang jalan di perut.

Menurutnya, ketika ini dia belum sempat bertemu isteri mangsa kerana berurusan dengan pihak polis, manakala anak mangsa berusia antara tujuh bulan hingga 10 tahun dilihat dalam keadaan baik namun belum memahami sepenuhnya situasi yang berlaku.

Nor Ashikin berkata, difahamkan jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Beranang, Selangor, malam ini memandangkan ahli keluarga terdekat berada di kawasan itu.

“Bapa mangsa juga sedang dalam perjalanan (ke hospital) selepas menguruskan urusan kematian isterinya,” katanya.

Sementara itu, seorang pembantu tadbir swasta terkejut selepas menerima panggilan daripada ibunya, Khalijah Yahaya, 61, memaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan sama.

Kamaruz Zaman Khairul Anam, 25, berkata dia dihubungi ibunya jam 6 pagi memaklumkan bapanya cedera di kaki akibat tersepit dan dibantu bomba.

Katanya, bapanya berusia 59 tahun kini masih dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh dan dijangka menjalani pembedahan dalam masa terdekat, manakala ibunya hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan pulang.

Terdahulu dilaporkan, seorang maut, manakala sembilan parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara ke selatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.45 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah bas, lori bonded dan sebuah motosikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top