JEDDAH: Raphinha muncul wira El Clasico apabila dua jaringannya memastikan Barcelona merampas Piala Super Sepanyol selepas menundukkan musuh tradisi, Real Madrid 3-2 dalam final mendebarkan di Stadium Raja Abdullah, awal pagi tadi.
Perlawanan berintensiti tinggi itu menyaksikan drama silih berganti, khususnya pada penghujung separuh masa pertama apabila empat gol terhasil dalam tempoh singkat, mencerminkan sengitnya perebutan maruah dua gergasi Sepanyol.
Selepas permainan bermula seimbang, Barcelona memecah kebuntuan pada minit ke-36 hasil gerakan pantas Raphinha yang tenang menyudahkan peluang dalam kotak penalti.
Real Madrid tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Vinicius Jr menyamakan kedudukan menerusi larian solo memukau pada masa kecederaan separuh masa pertama, sebelum Robert Lewandowski kembali meletakkan Barca di hadapan dua minit kemudian.
Namun, kegembiraan itu hanya seketika apabila Gonzalo Garcia memanfaatkan situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru untuk mengikat kedudukan 2-2, sekali gus menutup tirai separuh masa pertama dengan penuh kontroversi.
Separuh masa kedua menyaksikan permainan semakin panas sebelum Raphinha sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-73 apabila rembatan luar kotak penalti miliknya, meskipun sedikit tersasar, terkena pemain lawan dan menewaskan Thibaut Courtois.
Barcelona diuji hebat pada minit-minit akhir apabila Frenkie de Jong dilayangkan kad merah, namun benteng pertahanan yang dikemudi Joan Garcia kekal kebal untuk menafikan kebangkitan Real Madrid.
Kejayaan itu menyaksikan Barcelona menambah koleksi Piala Super Sepanyol mereka kepada 16 kejuaraan, sekali gus menegaskan dominasi ke atas Real Madrid dalam pentas berprestij tersebut.-AGENSI






