Jentera pertama Schumacher dilelong

Jentera pertama Schumacher dilelong


LONDON: Jentera Formula Satu (F1) yang menghadiahkan Michael Schumacher kemenangan Grand Prix (GP) pertamanya dijangka dilelong pada harga melebihi 7 juta pound (RM38 juta) dalam satu acara bidaan antarabangsa hujung bulan ini.

Kereta Benetton B192-05 yang dipandunya pada GP Belgium 1992 itu mencipta detik bersejarah apabila Schumacher muncul juara dalam perlumbaan penuh dramatik di Spa-Francorchamps.

Kemenangan dalam keadaan hujan lebat itu menjadi titik tolak kepada kebangkitan legenda Jerman berkenaan sebagai antara pemandu paling dominan dalam sejarah F1.

Schumacher kemudiannya mencipta legasi luar biasa dengan memenangi tujuh kejuaraan dunia dan mencatat 91 kemenangan perlumbaan, satu rekod yang bertahan lebih sedekad.

Wakil syarikat bidaan, Yves Boitel berkata jentera bersejarah itu dijangka mencecah harga melebihi 7.38 juta pound apabila dilelong menerusi acara Global Icons: Europe Online yang akan dibuka pada 23 Januari ini.

“Ini tidak dinafikan antara kereta paling terkenal dalam sejarah F1 dan ia bukan sahaja menandakan permulaan salah satu kerjaya F1 terhebat sepanjang zaman, malah menutup era kegemilangan kotak gear manual di peringkat tertinggi sukan permotoran,” kata Boitel.

Schumacher yang kini berusia 57 tahun tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan ski pada 2013, apabila terjatuh dan kepalanya terhantuk pada batu di kawasan luar laluan ski walaupun memakai topi keledar.

Bekas pemandu Ferrari dan Mercedes itu dikeluarkan daripada koma pada Jun 2014 selepas menjalani dua pembedahan di Hospital Grenoble dan kini menjalani proses pemulihan di kediamannya di Gland, Switzerland, lebih setahun selepas bersara daripada F1 pada 2012. – AGENSI





Source link

OR

Scroll to Top