Mimi Lana Akui Diri Tak Sempurna, Fokus Berdamai Dengan Keadaan

Mimi Lana Akui Diri Tak Sempurna, Fokus Berdamai Dengan Keadaan


Pelakon, Mimi Lana memilih untuk berpegang kepada prinsip kedamaian diri dan menjauhkan kehidupan daripada unsur toksik, susulan isu bayaran perkhidmatan solekan tertunggak yang tular baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian di platform Threads, Mimi atau nama lengkapnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, mengakui dirinya bukan insan sempurna dan sentiasa melakukan kesilapan, namun memilih untuk terus belajar dan memperbaiki diri.

“Saya bukan seorang yang sempurna dan saya juga melakukan kesilapan. Setiap hari saya belajar dan berkembang. Saya percaya Allah Maha Besar dan kepercayaan itu membuatkan saya kekal berpijak di bumi nyata,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, isteri kepada aktor Syafiq Kyle itu menegaskan dia tidak berniat untuk membuktikan kebaikan diri atau meletakkan dirinya sebagai mangsa dalam apa jua keadaan.

“Saya tidak mahu membuktikan kebaikan diri atau bermain sebagai mangsa dalam apa-apa situasi. Saya memilih untuk berbuat baik walaupun disalahfaham atau disakiti,” katanya.

Mimi turut menegaskan hasratnya untuk menjalani kehidupan dengan tenang dan menjauhkan diri daripada persekitaran yang dianggap toksik, selain percaya bahawa kebaikan sebenar dinilai melalui perbuatan, bukan sekadar kata-kata.

“Saya membawa begitu banyak kasih sayang dalam diri. Saya mahu hidup dengan aman dan jauh daripada toksik. Saya percaya kebaikan sebenar ditunjukkan melalui tindakan, bukan kata-kata,” jelasnya.

Sebelum ini, Mimi Lana membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seorang jurusolek dikenali sebagai Aizat selepas mengakui terlepas pandang untuk melunaskan bayaran perkhidmatan solekan yang tertunggak sejak beberapa tahun lalu.

Isu tersebut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial sebelum pelakon itu tampil menjelaskan keadaan sebenar dan mengambil tanggungjawab atas kekhilafannya.

Artikel Berkaitan: Mimi Lana Akui Khilaf Terlepas Pandang Bayaran Jurusolek, Tampil Mohon Maaf Secara Terbuka



Source link

OR

Scroll to Top