WASHINGTON: Kira-kira empat pendatang dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan pihak berkuasa imigresen Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 10 hari pertama tahun ini, menurut kenyataan media kerajaan.
Insiden berkenaan melibatkan dua pendatang dari Honduras, seorang warga Cuba dan seorang lagi dari Kemboja, yang berlaku antara 3 hingga 9 Januari, menurut Perkhidmatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam AS (ICE).
Kematian dalam tahanan itu berlaku serentak dengan insiden tembakan maut ke atas wanita di Minnesota oleh seorang pegawai ICE, yang mencetuskan bantahan di Minneapolis dan beberapa bandar lain di seluruh negara.
Pentadbiran Trump menyasarkan peningkatan kadar pengusiran dan menambah bilangan migran yang ditahan.
Sehingga 7 Januari, statistik ICE menunjukkan agensi itu menahan kira-kira 69,000 individu. Angka itu dijangka meningkat susulan suntikan dana besar-besaran kepada ICE yang diluluskan Kongres AS pada 2025.
Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan ICE sepanjang 2025, rekod kematian tertinggi di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump bagi tempoh dua dekad, menurut data agensi berkenaan.
Pengarah advokasi Rangkaian Pengawasan Tahanan, Setareh Ghandehari menyifatkan jumlah kematian yang tinggi itu sebagai benar-benar mengejutkan dan menggesa pentadbiran menutup pusat tahanan.
Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, Tricia McLaughlin berkata, kadar kematian kekal selari dengan norma sejarah ketika populasi tahanan meningkat.
“Apabila kapasiti katil diperluaskan, kami mengekalkan standard penjagaan yang lebih tinggi berbanding kebanyakan penjara yang menempatkan warganegara AS, termasuk menyediakan akses kepada rawatan perubatan yang sewajarnya,” katanya.
Tahanan warga Cuba, Geraldo Lunas Campos, 55, meninggal dunia pada 3 Januari di Camp East Montana, sebuah pusat tahanan yang dibuka oleh pentadbiran Trump di kawasan Fort Bliss, Texas.
ICE memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kematian Lunas, sambil menambah bahawa lelaki itu bertindak agresif, ditempatkan dalam pengasingan dan kemudian ditemui dalam keadaan kritikal. Beliau disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan kecemasan, menurut ICE.
Dua lelaki Honduras, Luis Gustavo Nunez Caceres, 42, dan Luis Beltran Yanez-Cruz, 68, masing-masing meninggal dunia di hospital di Houston dan Indio, California, pada 5 dan 6 Januari, kedua-duanya akibat masalah berkaitan jantung, kata ICE.
Seorang lelaki Kemboja, Parady La, 46, pula meninggal dunia pada 9 Januari akibat gejala penarikan dadah yang teruk di Pusat Tahanan Persekutuan di Philadelphia. Pentadbiran Trump mula menggunakan kemudahan itu pada 2025, menurut ICE. -AGENSI






