Eddie Hamid rancang sambungan lagu Bey Kelik Laa Bey

Eddie Hamid rancang sambungan lagu Bey Kelik Laa Bey


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer terkenal, Eddie Hamid, 63, bercadang menghasilkan sambungan lagu Bey Kelik Laa Bey nyanyian Baby Shima sekiranya muzik video lagu itu berjaya mencecah satu juta tontonan di YouTube.

Eddie atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Adenan berkata, ilham untuk sambungan lagu itu sudah ada, namun bergantung pada sambutan diterima daripada pendengar yang setakat ini amat menggalakkan.

“Saya pun ada beritahu Baby Shima mengenai cadangan ini. Sekiranya sambutan muzik video di YouTube menunjuk peningkatan yang baik dan berjaya mencecah satu juta tontonan, insya-Allah sambungan lagu Bey Kelik Laa Bey akan ada.

“Selepas pelancaran muzik video lagu pada 31 Disember 2025, saya gembira dengan penerimaan positif pendengar. Tengoklah enam bulan sehingga setahun akan datang macam mana jumlah tontonannya.

“Dalam soal ini (raih jumlah tontonan di YouTube), kita perlu beri masa sebab macam lagu Bey Soba Bey (judul asal Cinta Setandan Pisang) dulu pun tak sangka akan mendapat sambutan sangat baik daripada pendengar. Jadi, kita tunggu sahaja,” katanya.

Menurut Eddie, dia bagaimanapun melihat Baby Shima sebagai seorang penyanyi dangdut yang memiliki bakat tersendiri, mudah berbincang dan bersikap terbuka terhadap pandangan daripada komposer ketika rakaman di studio.

“Senang bekerja dengan Baby Shima kerana dia tahu apa yang diinginkan. Ketika rakaman lagu Bey Kelik Laa Bey di studio pada November 2025 lalu, kita tidak ambil masa lama untuk siapkan walaupun lagu ini dalam loghat Kelantan.

“Dia (Baby Shima) boleh dikatakan cepat belajar juga. Tapi biasalah lidah orang Johor hendak disamakan 100 peratus dengan loghat Kelantan, mana ada yang sempurna sebutan sepenuhnnya. Begitu juga dengan Baby Shima.

“Saya sendiri pun sudah 35 tahun menetap di Kuala Lumpur sejak membina karier seni, namun kalau bercakap masih ada loghat Kelantan dan tak pernah hilang pun. Jadi, ini adalah perkara normal,” katanya.

Katanya, sekiranya impian sambungan lagu Bey Kelik Laa Bey itu dapat direalisasikan, dia juga berkeinginan menyumbangkan vokal secara ‘featuring’ kerana minat pada nyanyian tidak pudar.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top